PEGAWAI KPDNKK memeriksa dua premis di Setapak yang menjual aksesori telefon tiruan. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Dua premis yang menjual aksesori telefon ‘cap ayam’ di Setapak di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), pagi semalam.

Serbuan jam 11 pagi itu dilakukan lima pegawai KPDNKK WPKL selepas mendapat maklumat dan membuat risikan sejak seminggu lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri (KPPN) Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 118 unit aksesori telefon bimbit dirampas bernilai RM3,000.

“Pihak kami mendapat maklumat premis berkenaan menjual pelbagai aksesori telefon tiruan menggunakan jenama produk alat telekomunikasi terkenal.

“Hasil risikan yang kami lakukan, KPDNKK kemudiannya menyerbu dua premis berkenaan dan melakukan pemeriksaan. Kami mendapati 118 aksesori jenama tiruan di dua kedai itu,” katanya.

Beliau berkata, barangan dirampas bernilai RM3,000 itu kemudiannya dibawa pulang ke Pejabat KPDNKK WPKL untuk siasatan lanjut.

“Pada masa sama, pihak kami merakam percakapan empat pekerja premis membabitkan dua wanita dan dua lelaki masing-masing warga tempatan.

“Pihak kami mendapati semua produk itu diimport dari negara luar sebelum dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

“KPDNKK kini mengesan pemilik premis untuk membantu siasatan mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 5:17 AM