SYAFIQ Yusof bersama trofi Filem Box Office dimenangi menerusi Abang Long Fadhil 2 yang berjaya mengutip RM17.3 juta.
ADIWIRAKU dijulang sebagai Filem Terbaik FFM29.
NAMRON di sisi June.


Kecintaan mendalam terhadap dunia seni lakon melakar catatan terindah buat pasangan selebriti Namron dan June Lojong apabila masing-masing menggondol anugerah tertinggi pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu.

Namron yang memegang watak sebagai Razlan dalam filem Redha dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik manakala isterinya menjulang trofi Pelakon Wanita Harapan menerusi karya sama.

Barangkali filem yang mengangkat kisah anak autistik itu memiliki rencah luar biasa apabila turut memenangi anugerah Pengarah Harapan (Tunku Mona Riza) dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Harith Haziq).

Redha diinspirasikan daripada kisah benar pasangan suami isteri, Alina lakonan June Lojong dan Razlan (Namron) yang berjuang membesarkan anak istimewa, Danial (Harith Haziq) yang disahkan autisme.

Namron ketika ditemui menyifatkan kemenangannya itu sesuatu di luar jangkaan.

Menurut Namron, sepanjang dua dekad bergelar anak seni, 2017 adalah tahun paling gemilang untuknya.

“Saya tak pernah terfikir menerima pengiktirafan sebesar ini sejak terbabit dalam industri seni. Saya bersyukur apabila hasil kerja masih dipandang dan dihargai. Saya juga berterima kasih kepada produksi dan pengarah yang masih mempercayai bakat saya.

“Kehadiran saya hari ini hanyalah untuk memeriahkan majlis kerana tidak tahu nama dicalonkan. Bagaimanapun, kejayaan ini amat bermakna dan manis untuk saya,” katanya.

Sebelum itu, filem Redha terbitan Current Pictures turut mengangkat nama Namron sebagai Pelakon Lelaki Terbaik sempena Anugerah Skrin 2016 tahun lalu.

Kemenangan yang diraih Namron pada FFM29 itu sekali gus melengkapkan deretan trofi bagi setiap kategori yang mempertandingkan namanya.

“Saya terkedu apabila nama diumumkan sebagai pemenang kerana calon lain hebat belaka dan mempunyai keunikan tersendiri. Lagipun nama saya kembali dicalonkan selepas kali terakhir tercalon pada 2003 menerusi kategori Pelakon Harapan yang dimenangi Achik Spin.

“Kemenangan ini amat istimewa kerana sudah lama saya tidak melakonkan watak utama dalam filem. Harapan saya selepas ini tentunya besar dan berharap masih ada produksi yang sudi menawarkan watak utama,” katanya.

Siapa sangka tanpa bersandarkan wajah komersial, Namron terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama serta filem mutakhir ini.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Shahili Abdan, 47, ini berkata, penonton sudah bijak menilai dan mengutamakan naskhah berbanding wajah pelakon semata-mata.

“Saya kesal dengan tanggapan segelintir pihak bahawa pelakon berwajah kormersial sahaja mampu melariskan drama atau filem.

“Bagi saya, nilai kormersial pelakon tidak semestinya melariskan sesebuah karya.

“Contohnya, ada pelakon popular dan berwajah komersial tetapi tidak semua filem lakonannya laris,” katanya.

June terima watak seadanya

Sementara itu, June mengakui terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Wanita Harapan.

Ini kerana, lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Teater dari Universiti Malaya (UM) itu mengalami beberapa kesukaran melakonkan wataknya ketika bergandingan dengan suami selepas hampir sedekad tidak beraksi depan kamera usai tamat pengajian.

“Lama saya berfikir untuk menerima tawaran berlakon dalam filem ini . Bagaimanapun selepas dipujuk pengarah dan dapat sokongan suami saya akhirnya bersetuju.

“Tak sangka selepas kehadiran saya memenangi anugerah di luar negara, akhirnya bakat kecil yang saya ada ini dihargai di sini,” katanya.

Tambah June, jika ada tawaran berlakon selepas ini dia tidak menolak tetapi dengan syarat watak itu tidak berlebihan.

“Saya akan terima sesuatu naskhah itu seadanya.

“Saya tidak akan tonjolkan lakonan yang berlebih-lebihan kerana itu bukan diri saya. Biarlah penonton melihat saya dengan cara yang tersendiri tanpa perlu berlebih-lebihan,” katanya.

Adiwiraku terbaik

Bertemakan Transformasi Citra Karya, FFM29 mengangkat Adiwiraku sebagai Filem Terbaik FFM29.

Diarahkan Eric Ong, karya terbitan Sol Pictures Sdn Bhd itu sekali gus berjaya menewaskan empat lagi pencalonan lain iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi.

Karya adaptasi kisah benar mengenai 35 pelajar Sekolah Menengah Pinang Tunggal itu turut memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik (Jason Chong) dan Pelakon Wanita Terbaik (Sangeeta Krishnasamy).

Ketika ditemui, Sangeeta mengakui tergamam dan menggigil ketika namanya diumumkan.

Sangeeta meletakkan harapan tinggi untuk melihat filem lakonannya itu dijulang sebagai Filem Terbaik namun tidak menyangka persembahannya turut dinilai dan diangkat sebagai pemenang.

“Meskipun sudah lima tahun mencanai bakat dalam industri filem Tamil, untuk industri filem Melayu saya masih hijau. Adiwiraku adalah naskhah Melayu pertama lakonan saya dan tak sangka dinobatkan sebagai pemenang.

“Saya sangat berterima kasih kepada Cikgu Cheryl kerana pengorbanannya menghimpun pelajar menyertai pertandingan pengucapan awam. Jasanya amat luar biasa.

“Saya juga berterima kasih kepada pengarah kerana percaya dengan bakat saya meskipun masih baru dalam bidang ini.

“Saya bangga dapat peluang berlakon dalam sebuah naskhah yang memperjuangkan semangat kebangsaan. Ini antara filem yang melakar memori terindah buat diri saya,” katanya yang menghidap demam denggi beberapa hari sebelum sesi penggambaran tamat.

Sangeeta yang menjadi wanita pertama bukan Melayu memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik mengakui sudah bersedia menyertai industri filem Melayu.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa selepas memenangi anugerah ini. Sekiranya diberikan peluang saya akan lakukan sehabis baik.

“Ini kerana berlakon adalah terapi untuk diri saya. Saya bukan datang daripada keluarga senang, jadi saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Bagi saya setiap peluang yang datang perlu dimanfaatkan selain melakukan kerja dengan ikhlas,” katanya.

FFM29 mempertaruhkan 24 kategori iaitu 18 daripadanya membabitkan pencalonan lima finalis manakala enam anugerah lagi adalah pilihan khas juri.

FFM29 kali ini juga mengekalkan kategori Filem Terbaik sebagai anugerah utama manakala dua kategori iaitu Filem Terbaik Nasional dan Filem Terbaik Kebangsaan dimansuhkan.

Acara berprestij yang mengangkat karya filem terbaik itu, dikendalikan oleh pelakon Zizan Razak, Siti Elizad, Elizabeth Tan dan Thanuja Ananthan selaku pengacara. Ia diserikan lagi dengan persembahan penyanyi tempatan antaranya Fina Jebat, Dualiti, Salamiah Hassan dan Atilia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 8:47 AM