NABILA Razali. FOTO Dean Momentart
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Penyanyi Nabila Razali yang kini mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan mengakui terpaksa melupakan seketika soal cinta.

Nabila, 25, berkata, selepas putus cinta pertengahan tahun lalu, dia selesa tidak terikat komitmen dengan mana-mana lelaki.

Bukan serik atau kecewa, sebaliknya Nabila yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 2013 ingin memberikan sepenuh perhatian terhadap kerjaya lakonan yang baru dibina.

“Diakui pada awalnya ada sedikit rasa kecewa tetapi lama kelamaan ia hilang dengan sendiri. Lagipun, ketika itu saya cuba memujuk diri untuk tidak ingat apa yang pernah terjadi. Saya hanya fikirkan perkara positif sahaja.

“Kini saya okey dan seronok dengan apa dilalui sekarang. Tidak timbul istilah serik nak bercinta. Mungkin sebab tiada yang berani dekat atau berkenalan membuatkan saya tak lagi berfikir soal pengganti.

“Dalam perkara ini saya sentiasa percaya kepada jodoh. Jika selepas ini saya kembali bercinta dan berkahwin, itulah dinamakan jodoh. Lagipun, siapa yang tidak mahu ada pasangan hidup?” katanya.

Kesibukan dan komitmen kerjaya turut memaksa Nabila menangguhkan pengajian Sarjana Seni Bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Apa yang ada dalam genggaman sekarang adalah rezeki. Malah saya tidak menjangka pembabitan dalam bidang lakonan mendapat maklum balas positif. Dengan adanya pelbagai tawaran, saya mengambil keputusan menangguhkan pengajian dua semester.

“Selepas selesai semua komitmen kerja, baru saya meneruskan kuliah. Kalau ikutkan ibu tidak bersetuju tetapi selepas melihat perkembangan kerjaya seni saya, mereka akhirnya memberikan restu.

“Kepercayaan diberikan mereka tidak akan saya persiakan. Tanpa keizinan mereka mungkin saya tidak meneruskan kerjaya ini,” katanya.

Nabila yang popular menerusi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati (HCSPH) berkata, dia merancang menjadi pensyarah apabila tamat pengajian kelak.

“Ibu bapa sentiasa berpesan, apa pun yang saya lakukan pendidikan perlu diutamakan. Jadi apabila dapat menyambung pengajian di peringkat sarjana, saya bercita-cita menjadi pensyarah.

“Cuma buat masa sekarang rezeki dalam bidang seni. Insya-Allah, jika selepas ini bergelar pensyarah, saya tetap meneruskan kerjaya seni. Bagi saya tidak ada salahnya asal tidak mengabaikan tanggungjawab diberikan.

“Sekiranya masih ada permintaan dalam bidang ini, saya berusaha memberikan yang terbaik. Tanpa sokongan peminat, saya tidak akan berada di kedudukan sekarang,” katanya.

Single Pematah Hati

Selepas berjaya dengan single pertama berjudul Cemburu, Nabila kini mempertaruhkan Pematah Hati.

Lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong ini diinspirasikan daripada drama lakonannya, Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

“Saya masih mengekalkan genre sama dengan lagu Cemburu iaitu ‘catchy’ sebab mudah untuk menarik perhatian pendengar. Lagu ini juga kesinambungan kepada single pertama,” katanya.

Nabila turut berkongsi, lagu itu ada kaitan dengan kisah peribadinya yang pernah putus cinta.

“Saya gunakan lagu untuk mengekspresikan isi hati. Saya selesa dengan cara begini selain dapat menghayati lagu ini.

“Pada masa sama, saya ingin berkongsi dengan pendengar pengalaman yang pernah dilalui. Setiap orang ada cara tersendiri untuk menyampaikan kisah hidup mereka,” katanya.

Perkembangan lain, Nabila kini terikat dengan penggambaran drama 26 episod Matahari Cerah Lagi terbitan Global Station Sdn Bhd.

“Sejak berlakon drama HCSPH, saya mulai jatuh cinta dengan dunia lakonan. Biarpun sebelum ini saya pernah menjayakan telefilem, suasana drama lebih menarik. Jadi, apabila dapat tawaran ini, saya terus bersetuju.

“Sebagai pelakon baru, saya akan sentiasa memperbaiki mutu lakonan. Kalau boleh saya mahu cuba bawa pelbagai watak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 2:56 AM