HUBUNGAN dengan Kamal bukan lagi rahsia. FOTO Aziah Azmee
HUBUNGAN dengan Kamal bukan lagi rahsia. FOTO Aziah Azmee

Pelakon jelita Emma Maembong berhasrat melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya yang juga pelakon, Kamal Adli tanpa mengikat tali pertunangan.

Menurut Emma, 25, dia lebih mengutamakan hal yang wajib dan seboleh-bolehnya pernikahan perlu disegerakan.

“Saya tidak mahu menunggu lama apabila masa yang dinantikan sudah tiba. Lebih baik terus bernikah dan mempercepatkan urusan yang wajib.

“Cuma buat masa ini tiada apa yang nak dikongsi mengenai hubungan saya dengan Kamal. Apabila tiba waktunya, saya akan umumkan juga nanti,”katanya.

Menurut Emma, dia sememangnya belum mempunyai apa-apa perancangan ke arah itu cuma mengakui sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Emma berkata, dia tidak meletakkan sasaran untuk berkahwin sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT.

“Buat masa ini kami mahu beri tumpuan kepada kerjaya dan mencapai impian masa depan terlebih dahulu.

“Apabila kehidupan sudah semakin stabil, bolehlah merancang ke arah itu. Berilah saya masa untuk mengumpul aset dan memastikan empayar perniagaan yang baru diusahakan ini kukuh.

“Lagipun, saya tidak selesa untuk menghebohkan perkara yang belum pasti. Soal jodoh dan mati itu kuasa Tuhan. Jadi saya serahkan segalanya kepada-Nya,” katanya.

Sementara itu, Emma yang berbakat dalam bidang lukisan mengeluarkan produk tudung yang memaparkan karya lukisannya.

Menurut Emma, keinginan untuk mengeluarkan hasil seninya di atas tudung sudah lama dipendam, bagaimanapun kekangan masa membuatkan hasratnya hanya dapat direalisasikan sekarang.

“Saya memang seorang pelukis sebelum bergelar pelakon. Idea untuk mengeluarkan tudung ini kerana melihat tidak semua mampu membeli hasil seni saya. Jadi adik-beradik saya yang lain muncul dengan idea untuk memperkenalkan produk dinamakan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong ini,” katanya.

Emma berkata, walaupun sudah bergelar pelakon, dia tidak pernah melupakan bidang lukisan dan masih berkarya.

“Setiap hari saya masih melukis jika ada waktu terluang. Selalunya saya akan membawa buku lakaran ke mana-mana saja.

“Jadi apabila kakak, Yaya memberi idea bagaimana hasil seni itu boleh dinikmati orang lain, saya setuju untuk hasilkan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong bersama mereka,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 3:16 AM