SYAFIE Naswip. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Menyedari populariti tidak akan dimiliki selama-lamanya, pelakon Syafie Naswip, 25, mengakui zaman kegemilangannya ketika bekerja dengan pengarah Allahyarham Yasmin Ahmad kira-kira 10 tahun lalu mungkin sudah berakhir.

Kini, kebanjiran ramai pelakon baru membuatkan Syafie tidak boleh leka, malah dia tidak mahu terus hanyut dengan populariti.

Justeru, pelakon yang popular menerusi filem Mukhsin pada 2007 itu tidak pernah memilih jauh sekali inginkan watak lakonan yang hebat saja.

Disebabkan itu, ada yang beranggapan dia tiada tawaran berlakon kerana dilihat seperti terdesak mengambil tawaran walaupun hanya watak kecil.

“Saya perlu bersedia dan menerima perubahan yang berlaku. Kemunculan ramai pelakon baru membuatkan saya tidak boleh terlalu ‘demand’.

“Walaupun saya cuba mengambil watak yang hanya boleh memberi kesan kepada penonton, kadang-kadang watak kecil juga perlu diambil.

“Tawaran yang diberikan juga kadang-kadang datangnya daripada produksi yang sudah biasa bekerjasama dengan saya sebelum ini, jadi tidak ada alasan untuk saya menolak,”katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini juga menafikan dia sanggup tidak berlakon daripada diberikan watak pembantu.

“Tiada istilah berangan-angan dan rasa diri berada pada zaman populariti kerana saya memegang prinsip setiap mereka yang terbabit dalam bidang seni akan ada sasaran mereka sama ada lima tahun popular kemudian beralih ke bidang lain atau juga sebaliknya.

“Begitu juga dengan keadaan saya sendiri, mungkin dulu sebab sudah terbiasa berlakon dengan produksi arwah Yasmin sampai ada yang berfikir saya perlu menjaga ‘standard’ itu,”katanya.

Sedia ubah penampilan

Syafie juga sentiasa bersiap sedia seperti pelakon lain untuk melakukan perkara lain jika satu hari dia sudah tidak diperlukan dalam industri.

Walaupun sudah lama berada dalam bidang lakonan, dia belum bersedia berada dibelakang tabir.

“Biasanya apabila berlakon orang pasti akan kaitkan dengan kerja belakang tabir.

Untuk saya sendiri, saya lebih selesa fokus berlakon saja.

“Bukan tidak suka kerja di belakang tabir tetapi saya perlu mempunyai pengalaman yang lebih lama disamping bersedia memikul tanggungjawab besar sebagai pengarah atau penerbit,” katanya.

Menurutnya, bidang penerbitan tidak semudah yang dilihat kerana baginya dalam berkarya perlu ada minat dan kesungguhan untuk memastikan karya yang dihasilkan berkualiti.

Namun, dalam soal penampilan juga,dia sedar ia turut memberi impak yang besar dalam kerjaya seni seseorang termasuk dirinya.

Malah tidak menolak jika perlu dia akan mengubah penampilan diri sesuai seperti yang dimahukan industri.

“Mungkin juga penampilan saya yang sederhana dan bertubuh kecil antara faktor sukar diberikan watak utama dan tidak saya nafikan perkara itu.

“Namun, pada usia 25tahun saya masih selesa dengan penampilan sekarang. Namun tidak menolak jika perlu mengubah menjadi lebih matang saya akan melakukannya,” katanya.

Syafie berkata,dia sentiasa berusaha melakukan perubahan kerana sedar industri seni sekarang sudah banyak berubah.

“Dunia lakonan sekarang banyak memandang rupa dan penampilan mungkin kerana sesuai dengan watak yang diberikan.

“Saya akur perkara itu dan bersedia melakukan apa saja asalkan peminat sedar saya masih ada dalam bidang ini,”katanya.

Kongsi menu masakan dalam video

Syafie dan adiknya, Sapawi juga mula berjinak-jinak dalam penghasilan video untuk di muat naik dilaman sosial seperti YouTube.

Menerusi video itu Syafie berkongsi minatnya dalam masakan dan dia tidak menyangka mendapat sambutan diluar jangkaan.

“Sebenarnya idea itu timbul selepas saya lihat minat memasak sudah ada dalam diri. Jika diikutkan saya tidaklah pandai sangat memasak, tetapi sejak kecil sudah diajar melakukan kerja dapur dan rasa tidak kekok apabila disuruh memasak,” katanya.

Syafie berkata, melalui video itu juga dia ditawarkan menjadi pengacara program masakan 13 episod yang sudah pun ditayangkan disaluran Hypp TV.

“Menerusi program itu, saya akan masak menu sendiri mengikut apa yang saya fikirkan dan idea daripada peminat.

“Tetamu jemputan akan hadir untuk menilai masakan saya. Menu yang saya perlu masak adalah bebas dan mudah dengan cara saya sendiri,”katanya.

Melihat perkara itu, Syafie turut berhasrat membuat perniagaan perkhidmatan penghantaran makanan.

Baginya, semua orang suka makan dan pastinya perniagaan ini seperti menjadi trend apatah lagi generasi sekarang terlalu sibuk bekerja disebabkan itu ramai memilih penghantaran makanan.

“Makanan adalah keperluan semua orang. Sejak awal tahun ini saya sudah mula membuat video berkongsi makanan yang saya masak.

“Dari situ saya ditawarkan mengacara program masakan. Malah maklumbalas peminat juga ramai yang suka dan mahu saya meneruskan video itu.

“Disamping itu ramai juga yang menyokong untuk saya membuat perniagaan penghantaran makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 3:25 AM