Keratan laporan Harian Metro sebelum ini apabila polis membawa suspek ke lokasi pembunuhan di Datuk Keramat. (Gambar kecil) Noor Rashid.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


SIASATAN ke atas enam suspek kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) selesai dan akan didakwa di mahkamah esok.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, bagaimanapun hanya sebahagian daripada suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, suspek lain akan didakwa mengikut seksyen berbeza iaitu mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan mendapati tidak semua suspek terbabit dalam kejadian itu, mereka ada ketika kejadian namun tidak terbabit.

"Hanya sebahagian daripada mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302," katanya pada sidang media khas sempena penubuhan Jawatankuasa Pembanteras Perjudian di Bukit Aman, hari ini.

Noor Rashid berkata, pihaknya tidak akan berpuas hati terhadap siasatan dan akan terus menjalankan siasatan walaupun kes sudah dituduh.

"Jika ada ruang dan maklumat terbaru kita terus jalankan siasatan. Kes masih berjalan namun apa yang boleh saya katakan kes sudah selesai," katanya.

Pada 16 September lalu, tujuh remaja ditahan reman berhubung kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat Hujung yang mengorbankan 23 individu.

Remaja berusia 11 hingga 18 tahun itu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur khianat yang menjadi punca kebakaran kes itu.

Enam daripadanya berusia 18 tahun ke bawah dan seorang daripadanya berusia 11 tahun.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 1:38 PM