RAFFI dan Nagita. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Nama Raffi Ahmad, 30, mungkin kurang dikenali di sini, namun di Indonesia dia cukup popular sebagai pengacara program hiburan, Dahsyat yang sudah memasuki tahun kesembilan.

Tidak hanya itu, Raffi juga sudah memulakan karier lakonan seawal usia 14 tahun dan tidak hairanlah apabila dia menjadi antara selebriti terkaya di Indonesia.

Malah, dia juga menjadi penyanyi dan pernah menganggotai kumpulan Bukan Bintang Biasa (BBB) yang turut diterajui penyanyi popular lain seperti Laudya Chintya Bella, Chelsea Olivia Wijaya, Dimas Beck dan Ayushita.

Selepas berkahwin dengan pelakon Nagita Slavina pada 2014 dan kini mempunyai seorang cahaya mata lelaki berusia dua tahun, Raffi kembali aktif berlakon selepas enam tahun berehat.

Menariknya, filem pertama terbitan syarikatnya berjudul Rafathar itu turut menampilkan anak tunggalnya, Rafathar Malik Ahmad sebagai pelakon utama.

Malah, Raffi turut mengambil peluang menayangkan filem berkenaan di Malaysia bermula hari ini bagi mengembangkan lagi jenama syarikatnya iaitu RNR Movies.

“Filem Rafathar adalah permulaan dalam bidang penerbitan yang saya lakukan dan berharap dengan kehadiran filem ini di sini (Malaysia) akan memberi peluang lagi untuk saya menayangkan filem lain lakonan saya.

“Secara kebetulan saya juga turut berlakon selepas agak lama berehat. Dapat berlakon dengan isteri dan anak sendiri adalah satu peluang yang menarik,” katanya.

Raffi berkata, dia berehat selama enam tahun bukan kerana tiada tawaran sebaliknya sangat sibuk dengan program pengacaraan.

“Banyak program hiburan di sana dilakukan secara langsung, rutin saya setiap hari berada di studio untuk program Dahsyat.

“Apabila sudah terlalu sibuk dengan pengacaraan saya jadi susah untuk terima tawaran berlakon apatah lagi menyanyi,” katanya.

Raffi berkata, walaupun sibuk, waktu bersama keluarga tetap ada. Oleh itu, dia akan memastikan hujung minggu adalah waktu senggang dengan keluarga.

Malah program realiti keluarganya sudah memasuki tahun ketiga dan ia tidak mengganggu kerana waktu itulah digunakan untuk bersama isteri dan anaknya.

“Memang jadual saya setiap hari padat. Jika dulu program Dahsyat berlangsung seawal jam 7 pagi tetapi sekarang sudah bertukar ke jam 12 tengah hari.

“Program realiti keluarga saya pula diadakan pada hujung minggu sekali gus ia memberi lebih ruang untuk saya menghabiskan masa dengan keluarga,” katanya.

Nagita beri peluang peminat lihat keletah anak

Sebagai seorang ibu yang sedang membesarkan anak kecil, Nagita tidak rasa apa yang dilakukan kepada Rafathar sebagai tekanan.

Sebaliknya, ia pengalaman baru di samping memberi peluang kepada peminat melihat keletah Rafathar.

“Sebenarnya pembabitan kami sekeluarga dalam filem ini bukanlah kerana syok sendiri tetapi lebih kepada menyenangkan kerja semua orang dan kami sendiri.

“Apabila anak kecil menjadi pelakon utama ia tidak mudah kerana kita perlu mengikut waktu mereka untuk tidur, menyusu dan bermain.

“Jadi, apabila saya terbabit saya boleh memudahkan mereka supaya Rafathar tidak meragam,” katanya.


MUHAMMAD bersama datuk, nenek dan sepupunya.

Nagita berkata, filem Rafathar juga adalah kenangan untuk mereka sekeluarga terutama buat Rafathar sendiri apabila dia besar nanti.

Filem ini turut menampilkan pelakon jelita Malaysia, Nur Fazura sebagai watak utama.

“Selepas terhasilnya filem Rafathar, saya dan suami merancang menghasilkan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 filem pada tahun depan.

“Mungkin juga kami akan berlakon sama atau hanya berada di belakang tabir,” katanya.

Raffi kembang perniagaan

Selain berjaya sebagai selebriti, kekayaan Raffi juga jelas terlihat apabila pada usia muda dia bijak merencana masa depan.

Boleh dikatakan semua perniagaan diceburi sehinggakan anak kelahiran Bandung ini begitu sibuk.

“Alhamdulillah rezeki. Apa yang boleh dilakukan saya buat saja, yang penting ia boleh menjana pendapatan keluarga.

“Mungkin sudah rezeki saya berpihak pada perniagaan apabila semua yang dilakukan berjalan lancar,” katanya.

Antara perniagaan yang diusahakan Raffi ialah pakaian, makanan, wangian, perbankan dan terbaru dia bakal melancarkan taman tema permainan yang diberi nama Rafathar Play Park.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 2:37 AM