BAHARUDIN menerima 11 jahitan di kiri dada selepas ditikam penagih. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Walaupun parah ditikam suspek sewaktu bergelut namun saya tidak mengalah sebelum berjaya menggari tangan penagih dadah terbabit,” kata mangsa, Baharudin Abdullah, 32.

Dia yang bertugas sebagai Pembantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Penguatkuasaan Hulu Selangor cedera parah selepas ditikam di bahagian kiri dada dan di kelar pada paha kanan sewaktu menjalankan operasi di Sungai Masin, Batang Kali, kelmarin.

Kejadian menyebabkan mangsa mengalami luka sedalam lapan sentimeter selain putus pembuluh darah serta menerima 11 jahitan selepas menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Gombak, Selangor.

Baharudin berkata, kejadian berlaku sewaktu dia bersama sembilan rakan setugasnya menjalankan operasi bagi menangkap penagih dadah di sebuah rumah di kawasan terbabit, jam 11.30 malam.

Katanya, dia ditugaskan bagi mengawasi di bahagian luar kediaman bagi menangkap suspek yang cuba melarikan diri.

“Sewaktu serbuan terdapat enam lelaki didapati sedang lalok syabu di dalam kediaman itu dan mereka cuba untuk melarikan diri.

“Saya cuba menahan salah seorang daripada suspek tetapi dia bertindak agresif sehingga menyebabkan berlaku pergelutan. Sewaktu saya cuba untuk menggari tangannya, penagih itu mengeluarkan pisau Rambo yang diselitkan di pinggangnya dan menikam bahagian kiri dada serta mengelar paha kanan saya.

“Bagaimanapun saya terus melawan sehingga suspek berjaya ditangkap,” katanya kepada wartawan Harian Metro ketika ditemui di Hospital Selayang, semalam.

Baharudin berkata, susulan kejadian dia dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang bagi menjalani pembedahan akibat saluran darah putus.

Jelasnya, kejadian terbabit pertama kali berlaku terhadap dirinya walaupun sudah sembilan tahun berkhidmat dengan AADK.

“Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bernafas di dunia ini walaupun tikaman itu hampir mengenai bahagian jantung.

“Namun, kejadian tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di negara ini walaupun terpaksa bergadai nyawa dalam melaksanakan tugas diamanahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 6:01 AM