Mas Aliza tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Jenayah 12. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
“Tiada keperluan untuk berjumpa keluarga tertuduh buat masa ini,” kata Hartini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mazizul Dani dan Asrizal Aris


“KAMI mengharapkan hukuman yang setimpal dikenakan ke atas suspek yang menyebabkan kematian tiga adik sepupu saya," kata Mas Aliza Ali Bapoo, 22.

Dia adalah sepupu kepada tiga beradik Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10, antara 23 yang maut dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September lalu.

Ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, dia bersama beberapa lagi ahli keluarganya mahu mendengar sendiri pendakwaan ke atas suspek yang menyebabkan kebakaran itu.

“Kita serahkan kepada keputusan mahkamah, dan apa saja keputusan mahkamah yang akan ditetapkan, kami terima saja. Cuma mengharapkan hukuman yang setimpal.

“Kami maafkan... Kita sudah pasti nak hukuman setimpal supaya ini akan menjadi pengajaran kepada orang di luar sana supaya benda yang sama tidak berulang," katanya yang akan mengikuti perkembangan kes ini sehingga selesai. 

Sementara itu, ibu kepada Allahyarham Nik Muhammad Ridzuan Nik Azalan, iaitu Datin Hartini Abd Gani berkata, mereka menghormati arahan Majistret Siti Radziah Kamaruddin yang mengarahkan waris mangsa keluar dari kamar mahkamah.

“Hanya keluarga tertuduh saja yang boleh berada di dalam kamar. Jadi kami hormat apa yang majistret arahkan kerana prosiding diadakan secara tertutup.

“Ramai juga waris yang hadir bersama kami hari ini kerana mahu mengikuti perkembangan kes sehingga selesai dan biar pihak pengadilan yang tentukan," katanya.

Hartini berkata, kesedihan yang dialaminya masih dirasai sehingga sekarang dan buat masa ini tiada keperluan untuk dia berjumpa dengan keluarga tertuduh. 

“Saya tak perlu jumpa keluarga tertuduh. Lagipun mereka juga bukan mahukannya dalam keadaan sekarang kerana masing-masing saling menghormati perasaan semua orang.

“Bagi pihak saya, tidak boleh dinafikan kesedihan atas kehilangan anak tetapi kita dah reda, ini ketentuan Ilahi. Cuma sebab musabab itu, kita tak mampu bayangkan kerana di luar pemikiran orang yang waras," katanya.

Dua daripada tujuh suspek kes bakar pusat tahfiz berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 8:38 PM