FARID Kamil (kiri) dan Zul Ariffin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Lakonan Farid Kamil dan Zul Ariffin tidak perlu dipertikaikan lagi. Masing-masing mempunyai gaya dan aura tersendiri sama ada beraksi di kaca TV atau layar perak.

Sebelum ini mereka bersatu dalam filem hebat J Revolusi dan sekali lagi dua jejaka tampan ini digandingkan bersama dalam filem Tombiruo.

Menerusi filem bergenre aksi drama itu, Farid dan Zul mengakui semakin serasi.

Tombiruo adalah filem adaptasi karya novelis thriller nombor satu Malaysia iaitu Ramlee Awang Murshid.

Filem itu bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 12 Oktober depan.

Menggunakan 99 peratus hutan belantara sebagai lokasi, ia boleh dikatakan antara filem aksi terhebat untuk 2017.

Bersama Farid dan Zul, mereka berdua berkongsi pengalaman bekerja bersama buat kali kedua di samping bercerita mengenai watak masing-masing.

Menariknya, buat pertama kali kedua-dua pelakon rasa seronok dan teruja apabila bekerja dalam sebuah produksi yang sangat menepati masa sehinggakan semua yang terbabit tidak rasa buang masa.

Farid takut Tombiruo dicetak rompak

Selepas J Revolusi, Farid mengakui Tombiruo antara filem hebat yang pernah dia lakonkan.

Tidak hanya hebat dari segi watak, malah jalan ceritanya juga belum pernah dipertontonkan kepada semua.

“Filem ini adalah adaptasi novel. Bagi yang belum baca mungkin kurang tahu tetapi saya yakin daripada jualan hangat yang diterima oleh pembaca novel itu sendiri filem ini mampu memberi impak berbeza.

“Ia sebuah cerita mengikut kepercayaan orang di Sabah mengenai seorang penjaga hutan,” katanya.

Mengganggap setiap filem ada cabaran sendiri, Farid mengakui dia lebih takutkan cabaran apabila filem ini dimuat naik di laman sosial.

Ini kerana hasil untuk menyiapkan filem ini sudah cukup mencabar apatah lagi banyak babak berada di hutan belum pernah dilakukan oleh pelakon yang terbabit.

“Cabaran saya dalam filem ini apabila membabitkan babak aksi. Saya perlu belajar ilmu persilatan dan babak saya banyak dalam hutan yang belum pernah lakukan sebelum ini.

“Malah keserasian bersama Zul menjadi lebih mudah kerana kami pernah bekerja bersama sebelum ini.

“Harapan saya semoga filem ini tidak terdedah dengan rakaman dan tidak dimuat naik di laman sosial dan ada langkah pencegahan. Semoga ia tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab” katanya.

Selain sibuk dengan promosi filem Tombiruo, Farid juga sedang menjalani penggambaran drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu gandingan bersama Nelydia Senrose.

Zul berdiet untuk Tombiruo

Memegang watak sebagai Ejim atau Tombiruo, Zul sekali lagi menayangkan badan dalam filem itu.

Namun, dia bukan sengaja sebaliknya tuntutan watak memerlukan dia tidak memakai baju.

Malah ketika membuat lakaran untuk pakaian watak Tombiruo memang tiada pakaian.

“Saya bukanlah sengaja hendak tayang badan tetapi watak untuk filem ini memerlukan saya berbuat begitu.

“Jadi tidak timbul isu saya sengaja hendak tayang badan,” katanya.

Mengakui Tombiruo antara filem yang mencabar fizikal dan mentalnya, Zul berkata, dia perlu menurunkan berat badan untuk kelihatan kurus.

Kerana itu sepanjang penggambaran dia tidak makan dan berdiet sehingga mengalami sedikit tekanan.

“Berat badan saya turun sehingga 13 kilogram. Memang mencabar apatah lagi babak beraksi saya mula rasa tidak selesa kerana perut kosong.

“Mujur Farid seorang yang relaks dan dia faham keadaan saya, kalau orang lain mungkin kami sudah bergaduh di set penggambaran,” katanya.

Zul berkata, jika diikutkan watak ini bukanlah pilihannya. Namun sebagai pelakon dia perlu mencabar diri mencuba pelbagai watak.

“Saya terima watak ini kerana mahu mencuba sesuatu yang baru. Memang sangat mencabar kerana keadaan saya menjadi sangat teruk ketika perlu menurunkan berat badan.

“Saya anggap mana-mana pelakon yang berjaya membawa watak seperti itu mereka memang hebat.

“Kerana ia tidak hanya menguji fizikal malah mental juga turut terkesan. Namun, saya tidak serik untuk menjayakan watak seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Zul berkata, sekurang-kurangnya jika diberikan watak seperti itu dia sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan apakah persediaan yang perlu ada.

“Sekurang-kurangnya saya dapat lari sekejap daripada dilabel watak hero cerita cinta,” katanya.

Dalam pada itu, selain sibuk mempromosikan filem Tombiruo, drama bersiri lakonan Zul berjudul Titian Cinta sedang ditayangkan di slot Akasia TV3.

Drama yang menggandingkan Zul dengan Farah Nabila itu masih meneruskan penggambarannya sehingga bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 4:10 AM