NURUL Syamira dan Mohamad Noor meluangkan masa bersama kucing kesayangan mereka. FOTO Norazimah Narudin
Norazimah Narudin


Johor Bahru: Walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap, pasangan suami isteri yang tinggal di Jalan Kupang, Skudai Kiri, di sini, tidak menjadikannya penghalang untuk menjaga dan memberi perlindungan kepada 129 kucing jalanan yang mereka kutip di sekitar bandar raya ini.

Sebagai pencinta kucing, Nurul Syamira Mohd Syarif, 25, dan suami Mohamad Noor Awang Hamat, 41, mula mengutip dan membela haiwan yang terbiar di jalanan sejak dua tahun lalu.

Meskipun menyara keluarga dengan menjual kacang, mereka sanggup berkorban apa saja bagi memastikan semua kucing dalam jagaan mendapat makanan dan perubatan sewajarnya.

Pasangan itu juga menggadaikan barang kemas dan telefon bimbit selain tidak membeli baju raya bagi memastikan ‘anak’ mereka dapat makan.

“Biar saya susah payah jaga kucing ini, saya tidak akan bagi mereka kepada orang lain. Ini dunia kami berdua dengan kucing yang dianggap sebagai anak sendiri.

“Setiap malam saya mendapat keuntungan sekitar RM50 hasil jualan kacang dan duit itu saya gunakan untuk membeli makanan kucing.

“Kami bekerja pun untuk kucing ini supaya mereka terus dapat makan dan tempat tinggal,” katanya ketika ditemui di rumahnya.


KEMASAN cat setaraf kilang induk Mazda di Jepun.

Nurul Syamira berkata, dia mula meminati dan menyayangi kucing selepas berkahwin dengan suaminya yang menggemari haiwan manja itu dan mereka sanggup berpindah ke rumah sewa demi keselesaan kucing yang dibela.

Menurutnya, setiap kucing itu mempunyai nama dan cerita sendiri ketika mereka diselamatkan dan tidak mempunyai masalah untuk mengingati nama setiap kucingnya.

“Walaupun kami belum dikurniakan anak, kami bahagia apabila dapat bersama-sama kucing, mereka ibarat anak kami,” katanya yang berumah tangga dua tahun lalu.

Sementara itu Mohamad Noor berkata, setiap hari dia dan isteri mengurus dan membersihkan bilik yang menempatkan semua kucing kesayangan mereka.

“Setiap hari kami tidur jam 3 atau 4 pagi untuk mengemas bilik kucing dan memberi rawatan kepada kucing yang sakit. Ini rutin kami berdua,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sebulan dia dan isterinya menghabiskan RM1,700 hasil jualan kacang untuk membeli keperluan kucing seperti ubat-ubatan dan makanan.

“Kami pernah mendapat kecaman orang ramai, menuduh kami mengambil kesempatan dan menipu untuk mendapatkan duit segera apabila saya meminta pertolongan di Facebook,” katanya.

Menurutnya, dia dan isterinya tidak kesah dengan kecaman orang ramai dan akan membela kucing berkenaan selagi termampu dan percaya rezeki pasti datang jika berbuat baik kepada haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 5:38 AM