NELO Vingada. FOTO Rasul Azli Samad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penundaan kali ketiga membabitkan aksi skuad Harimau Malaya menentang Korea Utara tidak memberi kesan kepada tumpuan dan fokus pemain untuk menyerlah dalam baki empat aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019.

Pengendali kebangsaan, Nelo Vingada berkata, keputusan Kementerian Luar melarang rakyat negara ini berkunjung ke Pyongyang amat menguntungkan skuad kendaliannya apabila berdepan Hong Kong pada 10 Oktober ini.

Jelasnya, daripada dua aksi berturut-turut di tempat lawan yang terpaksa diharungi anak buahnya, bermula menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung Khamis ini, fokus pemainnya kini hanya satu - meraih kemenangan di Stadium Hong Kong nanti.

“Pada mulanya, saya harus memikirkan mengenai dua aksi iaitu bertemu Korea Utara dan Hong Kong secara serentak apabila beraksi di gelanggang lawan.

“Namun selepas perintah larangan Kerajaan Malaysia dan dipersetujui AFC, fokus kami kini lebih terarah untuk persiapan menghadapi Hong Kong yang saya kira antara pencabar terkuat dalam peringkat kumpulan ini.

“Saya percaya apabila pemain hadir menjalani latihan pusat Rabu depan, tumpuan dan fokus mereka akan menjadi lebih baik kerana saya hanya perlu berikan input mengenai Hong Kong.

“Apapun, kemenangan ke atas Hong Kong penting sebelum meneruskan baki saingan menentang Lubnan dan Korea Utara,” katanya kepada Arena Metro.

Semalam, aksi di antara Malaysia dan Korea Utara ditangguhkan buat kali ketiga selepas Kementerian Luar melarang rakyat Malaysia mengunjungi Republik itu susulan ketegangan memuncak berhubung ujian peluru berpandu di Semenanjung Korea ketika ini.

AFC yang menerima keputusan berkenaan mengesahkan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFC bagi menentukan tarikh baru serta penetapan venue yang akan diputuskan dalam waktu terdekat.

“Berdasarkan jadual asal, kami akan menentang Korea Utara di Kuala Lumpur pada 14 November dan Lubnan, 27 Mac tahun depan. Terserah kepada AFC untuk menentukannya, tugas kami hanya mahu meraih mata dalam aksi berikutnya,” katanya.

Skuad negara sebelum ini membuka kempen kelayakan dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan di Stadium Larkin pada 13 Jun, sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu.

Malaysia ketika ini berada di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata dan perlu meraih tiga mata penuh apabila bertemu Hong Kong bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan bermula 5 Januari hingga 1 Februari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 4:09 AM