ANGGOTA bomba dan polis bekerjasama dalam usaha memujuk suspek yang mengamuk. FOTO ihsan Polis
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


ANGGOTA polis dan bomba mengambil masa tiga jam untuk memujuk bekas banduan yang mengamuk dan cuba mengurung dua adik beradiknya di dalam rumah kedai di Bandar Bukit Tinggi, Klang, malam tadi.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, suspek, 28, yang dipercayai di bawah pengaruh dadah menggunakan pisau dan gunting serta mengugut akan mencederakan adik-beradiknya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, abang suspek berjaya melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan rumah kedai berkenaan.

"Mangsa yang terjun patah kaki dan dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

"Dengan bantuan polis dan anggota bomba, dua lagi adik-beradiknya yang bersama suspek berjaya diselamatkan dan proses rundingan mengambil masa hampir tiga jam,"katanya

Beliau berkata, adik suspek berusia 17 tahun cedera di lengan kiri akibat libasan pisau.

"Suspek kini dalam tahanan reman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506/324 Kanun Keseksaan ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:17 PM