DZAFFIR (kanan) menunjukkan mesin judi yang dirampas dalam serbuan Operasi Dadu. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Pintu rahsia menyerupai dinding diletakkan di dalam pusat snuker menyambungkan laluan ke sebuah bilik rahsia dijadikan sebagai sarang judi ‘kasino’ dalam talian.

Malah, hanya pelanggan tetap dan penjaga premis mengetahui cara membuka pintu itu dengan menekan satu butang rahsia berhampiran dinding berkenaan.

Itu adalah taktik sindiket judi yang bersembunyi di sebalik pusat snuker bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu terbongkar hasil serbuan Operasi Dadu (Op Dadu) dijalankan sepasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang di sebuah premis di Jalan Bangi Batu 1/2, Semenyih, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pemeriksaan lanjut terhadap premis berkenaan menemui sebuah pintu rahsia yang menyerupai dinding di satu sudut pusat snuker terbabit.

“Pintu rahsia itu hanya boleh dibuka melalui satu butang diletakkan berhampiran dinding yang menyambung bilik rahsia dijadikan sebagai pusat judi dalam talian yang mampu menempatkan lebih 50 pemain secara serentak.

“Siasatan awal mendapati premis judi itu sudah beroperasi lebih empat bulan dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker,” katanya yang mengetuai serbuan operasi berkenaan.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menahan 49 individu yang membabitkan sembilan penjaga dan pekerja premis, selain kaki judi dalam serbuan operasi berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 40 pemain adalah 35 warga tempatan dan lima warga Indonesia yang berusia 20 hingga 60 tahun ditahan. Kami turut menahan seorang lelaki warga Myanmar yang juga penjaga premis bersama lapan pekerja premis,” katanya.

“Kami merampas 23 komputer yang dijadikan sebagai mesin judi dalam talian, tujuh mesin simulator, 18 mesin judi pusat hiburan keluarga (PHK) dan dua komputer kawalan utama, selain wang tunai berjumlah RM270 dipercayai hasil pertaruhan. Semua yang ditahan didapati negatif pengambilan dadah,” katanya.

Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 7:42 AM