AS’AD (kiri) dan Aiman. FOTO Shaker Hanafi x Slip Studio


Harus diakui industri muzik tempatan kini dibanjiri ramai penyanyi muda. Malah tidak keterlaluan andai dikatakan mereka menguasai industri seni tempatan apabila single dihasilkan mendominasi kebanyakan carta lagu popular.

Mereka yang mendapat jolokan ‘budak baru nak up’ dalam kalangan penggiat industri ini turut meraih populariti mendadak apabila ada antara lagu mereka mendapat lebih 40 juta tontonan di laman sosial YouTube.

Tidak dinafikan penyanyi muda dan berusia belasan tahun kini menjadi fenomena sejak Aiman Tino muncul dengan single pertama, Ku Rela Dibenci.

Selepas itu lahir ramai penyanyi seangkatannya seperti Irfan Harris, Haqiem Rusli, Tajul, Ismail Izzani dan terbaharu, As’ad Motawh yang dilihat menjadi pesaing buat Aiman Tino memandangkan karya yang dihasilkan penyanyi remaja lain turut menjadi kegilaan serta mendapat sambutan hangat peminat.

Bling! minggu ini menggandingkan Aiman dan As’ad dalam satu fotografi khas untuk muka depan. Ketika ditemui, Aiman akui tidak pernah melihat kemunculan ramai penyanyi lelaki sebaya serta meraih populariti mendadak sebagai satu persaingan.

Sebaliknya kata Aiman, dia seronok apabila kehadiran mereka juga diterima baik peminat dan mengalu-alukan lebih ramai rakan sebaya yang berasakan mempunyai bakat untuk bersama-sama mewarnai industri hiburan tempatan.

“Alhamdulillah, sepanjang dua tahun menempa nama dalam industri seni nyanyian saya lihat ramai wajah baru muncul dengan lagu yang turut mendapat sambutan hangat di radio.

“Ini bermakna kehadiran saya membuka jalan kepada bakat muda ini untuk menonjolkan kemampuan nyanyian mereka. Sekarang apabila jalan itu sudah terbuka, saya mempelawa bakat muda lain untuk bersama-sama mencuba nasib,” katanya.

Aiman juga seronok kerana kehadiran rakan sebaya untuk sama-sama bergelar penyanyi dan diterima peminat membuatkan dirinya berasa tidak keseorangan.

Bakal tampil dengan single duet bersama kakaknya, Fara Hezel, Aiman melihat kebanjiran penyanyi muda yang berbakat besar ini sebagai satu saingan sihat untuk saling tampil dengan produk yang bagus.

“Saya kini sedang mempersiapkan diri untuk tampil dengan lagu baru yang lebih segar supaya kehadiran terus mengikut trend terkini.

“Lambakan penyanyi muda ini memberi saya lebih semangat untuk sentiasa berfikir dan tidak berasa selesa dengan apa yang dimiliki.

“Lagipun, persaingan menjadi semakin sengit. Saya perlu pastikan setiap lagu yang bakal diperdengarkan menepati selera pendengar. Insya-Allah selepas lagu Ku Rela Dibenci, Permata Cinta dan Ku Hanya Sayang Padamu, saya bakal tampil dengan single yang lebih berbeza tidak lama lagi,” katanya.

As’ad Digilai

Siapa sangka, baru berusia 16 tahun, As’ad yang tampil dengan single pertama, Senyum berjaya meraih 4.5 juta tontoton di YouTube sejak muzik videonya dimuat naik sebulan lalu.

Jika kebanyakan remaja pada usia 15 hingga 18 tahun masih tercari-cari apakah cita-cita sebenar selepas zaman persekolahan, situasi yang sangat berbeza dilalui penyanyi As’ad atau As’ad Ahmed Mohamed Motawh yang yakin dengan pilihan kerjaya dipilihnya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, minatnya yang mendalam dalam bidang seni suara sudah dipupuk sejak di sekolah rendah.

“Saya memang gemar menyanyi dan kerap memuat naik video nyanyian di Instagram, sama ada menyanyi secara solo atau pun bersama rakan. Tapi tidak sangka pula, apabila ada di antara lagu yang saya nyanyikan mendapat perhatian ramai.

“Paling mengejutkan adalah lagu Despacito yang saya dendangkan mulai viral dan ditonton lebih dua juta kali di Instagram.

“Sejak itu segala-galanya berubah apabila saya disunting syarikat rakaman BeeGood Music untuk menjadi artis mereka. Bertitik tolak dari situ, segalanya berubah apabila impian saya mahu bergelar penyanyi tercapai,” katanya.

Mengenai persaingan dalam kalangan penyanyi seangkatan, As’ad yang kini memilih untuk belajar di rumah tidak mahu melihatnya daripada sudut negatif.

Sebaliknya As’ad optimis mahu terus berkarya bagi menghiburkan peminatnya setianya.

“Kehadiran saya dalam industri bukan mahu bersaing atau nak buktikan apa-apa. Saya hadir untuk memeriahkan industri dan mahu mengharumkan nama negara.

“Insya-Allah 14 Oktober ini saya bakal ke Indonesia untuk promosi single Senyum. Saya bersyukur kerana ada syarikat rakaman dari Indonesia sudi melakukan promisi lagu ini.

“Selain itu, ada dalam kalangan penyanyi yang seangkatan dengan saya adalah sahabat baik. Saya dan Aiman juga baik. Saya sendiri apabila mendengar lagu Aiman, terus jatuh minat dan mengikut perkembangan awalnya menerusi laman sosial.

“Jadi istilah bersaing tidak timbul memandangkan setiap daripada kami tampil dengan lagu dan penampilan imej berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, As’ad akui perkara paling ditakuti apabila memasuki dalam industri ialah bimbang andai namanya jatuh dengan mendadak selain bimbang lupa diri.

“Saya takut kalau satu hari nama saya jatuh. Ketika itu, saya tidak tahu bagaimana keadaan saya. Adakah saya sudah mencapai kejayaan atau sebaliknya? Disebabkan itu, saya perlu bekerja keras dan aktif supaya kehadiran saya terus konsisten.

“Selain itu, ibu juga selalu berpesan sentiasa jaga diri dan kekal rendah diri kerana perjalanan yang ditempuh ini bukan mudah,” katanya.

As’ad, Aiman masih solo

Diminati dan video ditonton jutaan peminat, tentunya Aiman dan As’ad juga digilai remaja perempuan.

As’ad yang menginjak usia 16 tahun pada 3 September lalu mengakui belum mempunyai kekasih hati.

Begitu juga Aiman, 19, mengakui masih solo dan belum terfikir mempunyai teman istimewa ketika ini.

Anak kelahiran Kuala Kubu Bharu itu tidak menafikan ramai wanita yang mahu berkenalan tetapi dia terpaksa menolaknya secara baik.

“Keinginan untuk bercinta memang ada, tapi saya perlu dahulukan karier. Saya mahu membantu keluarga dan adik-beradik.

“Sebenarnya saya bimbang apabila sibuk bercinta, tidak lagi fokus terhadap karier nyanyian. Jadi biarlah saya bercinta dengan kerjaya ini selain mahu mencari calon kekasih yang betul-betul tepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 3:24 AM