Omar Ahmad
am@hmetro.com.my


SERAMAI 15 pasangan dari beberapa daerah di Johor dinikahkan beramai-ramai dalam Majlis Pernikahan Perdana sempena Ekspo Johor Berkemajuan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, semua pasangan berumur antara 26 hingga 50 tahun itu dinikahkan 15 jurunikah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di hadapan saksi masing-masing.

Katanya, Pernikahan Perdana itu bagi memudahkan umat Islam yang mahu mendirikan rumah tangga dengan kos minimum iaitu hanya membayar mas kahwin RM22.50 dan wang sagu hati kepada jurunikah.

“Pasangan pengantin datang bersama mas kahwin dan wang sagu hati untuk jurunikah sahaja, manakala kos perbelanjaan makanan tetamu, pelamin nikah dan sanding, kompang serta keperluan lain ditanggung kerajaan negeri.

"Keseluruhan kos ditanggung kerajaan negeri bagi pernikahan 15 pasangan pengantin ini ialah RM22,000.

“Setiap pasangan boleh membawa 40 tetamu untuk jamuan makan selepas akad nikah.

"Kita laksanakan majlis pernikahan perdana ini supaya masyarakat melihat Islam itu sememangnya memudahkan kita dengan melakukan perkara yang wajib," katanya.


Tetamu yang menghadiri Majlis Pernikahan Perdana di Ekspo Johor Berkemajuan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto OMAR AHMAD

Seorang pengantin, Gani Aying, 48, dari Pasir Gudang yang berkahwin dengan Hirdawati Bedol, 41, melahirkan rasa syukur kerana diijabkabulkan dengan mudah dalam satu majlis yang meriah.

Malah, menurut Gani dia tidak menyangka dinikahkan sendiri oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin disaksikan Penasihat MAIJ, Datuk Noh Gadut.

“Bersyukur dinikahkan mufti sendiri. Pernikahan beramai-ramai ini membantu meringankan beban kos majlis dan persiapan.

"Saya dan isteri hanya perlu menyediakan beberapa perkara untuk pernikahan ini, manakala selebihnya disediakan kerajaan negeri.

“Saya berharap majlis seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya yang mempunyai lapan anak tiri selepas berkahwin hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 8:02 PM
Sebanyak 15 pasangan pengantin diijabkabulkan beramai-ramai pada Majlis Pernikahan Perdana di Ekspo Johor Berkemajuan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto OMAR AHMAD