HAFIZUL Hakim. FOTO Osman Adnan
HAFIZUL Hakim. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


Kowloon, Hong Kong: Penjaga gol Harimau Malaya, Hafizul Hakim Nizam Jothy menggesa barisan pertahanan agar tidak melakukan sebarang kesilapan ketika menentang Hong Kong, esok.

Hafizul, 24, menggalas tugas benteng akhir negara ketika berdepan lawan sama di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September lalu yang menyaksikan skuad negara sekadar terikat 1-1.

Menyedari corak permainan pantas bakal dijelmakan Hong Kong, dia menegaskan mereka tidak boleh melakukan kesilapan mudah jika mahu melunaskan misi mengutip tiga mata.

“Tidak kira sama ada saya atau Yan (Khairulazhan Khalid) atau Ifwat Akmal yang akan diturunkan, kami akan mengingatkan barisan pertahanan agar sentiasa fokus sepanjang permainan,” katanya.

Penjaga gol Perak itu sekali lagi dijangka turun selaku penjaga gol utama selepas memperagakan prestasi cemerlang di Melaka termasuk menyelamatkan sepakan penalti.

Menganggapnya satu penghormatan buat dirinya apabila dipilih Nelo Vingada, Hafizul bertekad membalas kepercayaan pengendali jurulatih negara itu menerusi aksi lebih tangkas berdepan anak buah Kim Pan-Gon.

“Seluruh pasukan perlu bersedia 100 peratus dalam pertemuan ini. Tidak kira siapa yang akan diturunkan, semua pemain perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 7:13 AM