MOHD Nizam. FOTO Salhani Ibrahim
Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Penggunaan Bitcoin dilihat lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna khususnya umat Islam memandangkan ia bebas didagangkan di alam maya.

Menurut Pakar Perunding Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Mohd Nizam Mohd Salleh, ia juga mendedahkan pengguna kepada risiko besar kerugian terutama apabila berlaku penggodaman hingga menyebabkan ‘harta’ mereka itu boleh lesap sekelip mata.

“Untuk umat Islam, kita tidak tahu status halal haram kerana ia didagangkan secara bebas. Di Malaysia, tidak mungkin kita bersedia untuk beralih kepada penggunaan Bitcoin secara sah kecuali ada mekanisme tertentu digunakan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas tindakan seorang peniaga nasi kerabu daging bakar di Kota Bharu, Kelantan yang menerima pembayaran menggunakan mata wang maya, Bitcoin dan satu-satunya peniaga gerai di negeri itu yang menerima wang jenis kripto selain Ringgit Malaysia.

Berikutan status Bitcoin masih samar, BNM dijangka memuktamadkan keputusan sama ada melarang penjualan semua jenis wang kripto di Malaysia sebelum akhir tahun ini selepas China terlebih dulu mengambil langkah sama pada September lalu.

Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, bank pusat itu kini mengkaji semua aspek berkaitan sebelum memutuskan dasar mengenainya dan akan mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang kripto serta larangannya.


LAPORAN Harian Metro, 5 Oktober lalu. FOTO HM Digital

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, fungsi Bitcoin tidak lebih sekadar mata wang maya bagi memudahkan penggunanya melakukan urus niaga di mana-mana negara tanpa perlu membuat tukaran kepada mata wang negara berkenaan.

Katanya, disebabkan ia tidak dikawal selia oleh kerajaan atau bank pusat mahupun undang-undang tertentu, transaksi Bitcoin boleh dilakukan secara bebas di alam maya, sekali gus menyebabkan ia terdedah terhadap aktiviti haram termasuk urus niaga dadah dan aktiviti keganasan.

“Bitcoin ini diibaratkan seperti token untuk bermain permainan game atau kasino. Ia tidak ada kadar pertukaran dan ketelusannya adalah sama. Ia bermaksud, di negara mana pun kita berada dengan Bitcoin ini pengguna boleh membuat transaksi tanpa membuat tukaran mengikut nilai mata wang negara berkenaan. Pengguna boleh menggunakan satu mata wang ini saja dan ia mudah dibawa menggunakan dompet digital.

“Ia tidak mengikut nilai mata wang dan boleh dibeli begitu saja menggunakan mesin yang disediakan. Sehingga kini, tidak ada sebarang undang-undang yang mengawal selia urus niaga Bitcoin ini menyebabkan ia bebas didagangkan di alam maya. Di Malaysia juga, Bitcoin sudah berkembang.

“Cuma, kebimbangan utama terhadap penggunaan Bitcoin ini ia mudah dimanipulasi untuk apa-apa saja aktiviti termasuk penjualan dadah dan aktiviti keganasan disebabkan transaksi ini tidak boleh dikesan oleh bank pusat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:05 AM