Surianty menunjukkan jubah peninggalan anaknya, Allahyarham Mohamad Daniel kepada Wan Munadi (dua dari kiri) di rumahnya di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


“ARWAH anak berpesan supaya adik bongsunya memakai kopiah jika dia meninggal dunia.

“Kopiah itu diberikan arwah anak pada adiknya ketika pulang pada Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini,” kata Surianty Mohamed, 39, ibu kepada Muhammad Daniel Md Amin, 14, yang maut dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, bulan lalu.

Surianty berkata, anak bongsunya, Salahuddin Al-Ayubi, 6, tidak pernah lupa memakai kopiah itu kecuali ketika tidur.

"Dia ingat pesanan abang sulungnya dan sangat sayang kopiah berkenaan seperti dia sayangkan arwah abangnya.

"Hampir sebulan peristiwa (kematian anak) itu namun saya berasakan kejadian terbabit seperti semalam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad Datuk Wan Munadi Wan Mamat menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Surianty sekeluarga.

Wan Munadi berkata, bantuan itu susulan daripada sumbangan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada waris mangsa pada 20 September lalu.

"Namun pada majlis itu, hanya 19 waris daripada keseluruhan 23 waris mangsa yang hadir.

"Jadi kita serahkan sendiri dalam kunjungan ke rumah ibu Allahyarham Mohamad Daniel hari ini.

"Walaupun institusi tahfiz ini bukan di bawah kementerian tetapi atas dasar keprihatinan, kita tampil serah sumbangan untuk membantu keluarga mangsa,”€ katany.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar menyebabkan 23 mangsa terkorban.

Susulan itu, tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun ditahan dan dua daripadanya dituduh di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 12:03 PM