Alias Abd Rani


SELEPAS lebih 16 jam dilaporkan hilang apabila kayak dinaiki terbalik akibat tersangkut pusaran air, dua lelaki, Hew Yoong Loong, 61, dan Leow Shak Kwan, 54, ditemui selamat, hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, kedua-dua mangsa ditemui pada 8.35 pagi di kedudukan 3.4 batu nautika dari selatan Tanjung Tuan, Port Dickson.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Stesen Udara Subang sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Operasi bermula jam 8 pagi membabitkan aset Bot Petir 84 dan 91 dengan kekuatan lapan anggota serta seorang pegawai.

“Selain itu, APMM juga menggunakan pesawat udara maritim AS 365 N3 sebelum menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan terapung sambil memegang kayak.

“€œKedua-dua mangsa dilihat memakai jaket keselamatan di lokasi penemuan. Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 9.45 pagi,” katanya.

Zulkifli berkata, turut terbabit dalam operasi itu ialah Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, Leow dan Hew dilaporkan hilang selepas kayak dinaiki terbalik manakala rakannya, Foo Siew Wan, 54, terselamat.

Ketiga-tiga mangsa dari Selangor dikatakan mula berkayak di Pantai Blue Lagoon, Tanjung Tuan, Port Dickson sebelum kayak dinaiki terbalik.

Foo yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu namun gagal sebelum dia bergerak ke darat untuk mendapatkan bantuan polis dan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 12:46 PM
Hew dan Leow berpegang pada kayak dalam usaha menyelamatkan diri mereka. FOTO ihsan APMM
Hew dan Leow berpegang pada kayak dalam usaha menyelamatkan diri mereka. FOTO ihsan APMM