Boy Iman direman bagi membantu siasatan bersangkut laporan polis yang dibuat di Sungai Petani, Kedah.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


PENGARAH Urusan DBI Properties Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman direman semula untuk kali keempat selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan perumahan membabitkan kerugian RM6.8 juta.

Ini adalah kali keempat pelakon berkenaan dikenakan tahanan reman selepas melalui proses yang sama selama dua hari di Ampang, Selangor dan di Muar, Johor dan tiga hari di Shah Alam, Selangor sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Boy Iman direman bagi membantu siasatan bersangkut laporan polis yang dibuat di Sungai Petani, Kedah.

Menurutnya, turut direman selama dua hari, tiga rakan suspek iaitu Kassim Arunasalam, Muhammad Umar Abdul Jamil dan Siti Norbaiyah Yahya turut dikenali sebagai Datuk Anggun.

"Semua mereka ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Petani, Kedah.

"Permohonan reman semua suspek diperlukan bagi meneruskan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan sebelum pendakwaan dilakukan," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Acryl berkata, pihaknya masih mengesan Zubir Yahya atau Ustaz Zubir bagi membantu siasatan.

"Kepada yang mempunyai maklumat mengenai Ustaz Zubir, diminta tampil memaklumkan kepada polis dengan segera," katanya.

Pada 2 Oktober lalu, Boy Iman dan tiga yang lain ditahan susulan 188 laporan polis oleh mangsa yang mendakwa ditipu dua syarikat menawarkan rumah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu kira-kira RM60,000 untuk sebuah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

Sehingga Jumaat lalu, jumlah laporan polis yang dibuat mangsa bertambah kepada 210 laporan dari seluruh negara, membabitkan projek di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita berkaitan

Dibebaskan dengan jaminan polis

Siasat gelaran Datuk dipakai Boy Iman

Pegawai Juta Kelulut Global Resources pula direman

Boy Iman kena reman dua hari [METROTV]

'Habuk pun tiada...'

Tolong tangkap empat lagi penipu!

Boy Iman kena tahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:35 PM