HASLINA (tiga dari kiri) ketika Program CSR SAMB Prihatin di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, semalam.
Nur Ain Musdad


Alor Gajah: Kedaifan empat beranak dari Kampung Gangsa, Durian Tunggal yang menghuni sebuah pondok usang dan bergantung kepada air perigi untuk kegunaan harian sejak setahun lalu mendapat perhatian Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Melaka apabila membina rumah baru untuk mereka.

Semalam, keluarga itu menerima kunci rumah baru berkenaan daripada ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Melaka bersempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Bekalan Air Melaka Berhad (SAMB) Prihatin.

Haslina Budin, 37, yang menjana pendapatan dengan menjual kuih secara kecil-kecilan meluahkan rasa syukur kerana dia bersama suami Awang Siddik, 49, dan dua anak mereka, Arisa Darwina, 8, dan Akif Darwisy, 3, akhirnya dapat tinggal di rumah lebih selesa.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga sudah lama mengimpikan kehidupan selesa seperti orang lain, namun kurang berkemampuan lalu memilih pondok ini sebagai tempat berteduh.

“Saya berasa amat bersyukur dan teruja apabila dimaklumkan ada pihak sudi membina rumah baru untuk kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci kediaman barunya, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal Datuk Ab Wahab Ab Latip, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Rashid Ab Rahman dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Melaka Tajuddin Husin.

Sementara itu, Tajuddin berkata, rumah baru berkenaan dibina bersebelahan pondok yang didiami empat beranak itu dengan kos RM35,000 hasil sumbangan ahli-ahli persatuan berkenaan.

“Kami harap rumah baru ini memberi keselesaan kepada pasangan ini khususnya anak-anak mereka yang masih kecil. Semoga empat beranak ini akan lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:59 AM