KEADAAN bayi perempuan yang ditemui dibuang di dalam tong sampah di Chiang Mai, Thailand pada Ahad lalu. - Agensi

Chiang Mai: Seorang bayi perempuan kini menjadi rebutan untuk dijadikan anak angkat apabila ditemui dibuang ibunya di dalam tong sampah selepas dilahirkan.

Bayi itu dibalut dengan selimut dan diletakkan di dalam beg galas sebelum dibuang ke dalam tong sampah pada Ahad lalu.

Seorang penduduk terdengar suara bayi itu menangis pada jam 8 malam (waktu tempatan) sebelum menyelamatkannya.

Polis yang tiba dilokasi kejadian segera membawa bayi itu ke hospital di mana dia diberi oksigen dan pemeriksaan kesihatan.

Doktor memberitahu, individu yang membuang bayi itu di dalam tong sampah kerana mahu kanak-kanak yang berusia tidak sampai 12 jam itu mati.

Selepas berita dan gambar bayi itu tersebar, ramai keluarga berkunjung ke hospital untuk menjadikan kanak-kanak berkenaan sebagai anak angkat.

Jurucakap Hospital Lanna di Chiang Mai, Jiralak Jankrajai berkata, ramai orang melawat dan menghubungi hospital untuk menjadikan bayi itu anak angkat.

“Selepas dibuang keluarganya sendiri kini ramai orang yang mahu menjadikan bayi ini anak mereka.

“Sangat penting bayi ini diberi kepada keluarga angkat yang betul supaya dia membesar dengan gembira,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:57 AM