MOHD Azizi (tengah) bersama anggota penguat kuasa unit CCTV MBPJ memantau sekitar bandar melalui CCTV.
MOHD Azizi (tengah) bersama anggota penguat kuasa unit CCTV MBPJ memantau sekitar bandar melalui CCTV.
Siti Fatimah Nasir


Petaling Jaya: Dalam usaha menangani isu halangan lalu lintas, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempergiatkan pemantauan dengan memasang 12 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat bandar, baru-baru ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pemasangan CCTV bersama pembesar suara adalah langkah baru MBPJ dalam memastikan aliran trafik di sekitar bandar raya berjalan lancar sekali gus menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar pintar.

“Pihak majlis mengambil inisiatif memasang 12 CCTV baru bersama alat pembesar suara bagi menangani halangan trafik terutama membabitkan parkir bertindih.

“Pemantauan CCTV dijalankan setiap satu jam dan akan berterusan pada waktu puncak yang mana anggota penguat kuasa dari unit CCTV di Menara MBPJ akan memberi arahan terus menggunakan pembesar suara ke kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, kaedah yang digunakan itu dilihat berkesan dalam mengurangkan kesalahan trafik di pusat bandar.

“Setakat Februari lalu, sebanyak 1,295 kenderaan yang menghalang lalu lintas segera mengalihkan kenderaan mereka selepas mendengar arahan yang dikeluarkan pihak penguat kuasa MBPJ melalui pembesar suara di CCTV ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:26 AM