Mayat Anis Shahtirah Saad, 12, ditemui pasukan SAR di Kampung Ulu Melaka, Langkawi, hari ini. - Foto Ihsan Bomba/HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


MAYAT ketiga mangsa tragedi 'kepala air' di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, Anis Shahtirah Saad, 12, ditemui 11.46 pagi, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk kes ini yang juga Pegawai 'On Call' Zon 4, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Ahmad Husaini berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui di kawasan rumpun buluh berhampiran sebuah restoran di Kampung Ulu Melaka.

"Mangsa ditemui orang awam di kawasan rumpun buluh berhampiran Restoran Kak Yan kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya di tempat kejadian,

Sebelum ini, mayat Qistina Puteri Wira, 11, ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian pada 5.30 petang semalam, diikuti mayat Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, pada 12.40 tengah malam tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, dua kanak-kanak terselamat manakala seorang maut dan tiga lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras yang membadai tiba-tiba.

Mangsa yang masih hilang ialah Siti Aishah Kassim, lima tahun, dari Bukit Malut, Langkawi.

Mohd Syukri berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada 7 pagi ini dengan satu pasukan bomba membuat pencarian permukaan sungai di Kampung Bukit Kemboja, di sini.

"SAR yang memasuki hari kedua turut membabitkan penyertaan anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam," katanya.

update-jumpa-di-perangkap-sampah

Semoga Anis ditemui segera

Sempat paut pada batu

1 lemas, 3 masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:32 PM