X
DAKWA Weinstein cuba buat tak senonoh ketika perbincangan mengenai filem.
DAKWA Weinstein cuba buat tak senonoh ketika perbincangan mengenai filem.
Georgie Joseph


Krisis membabitkan penerbit filem Harvey Weinstein semakin panas apabila aktres Cara Delevingne pula tampil bersuara.

Cara, 25, mengakui turut menjadi mangsa gangguan seksual oleh Harvey sewaktu baru menceburi lakonan dulu. Dalam kenyataannya di Instagram baru-baru ini, pelakon Suicide Squad itu mendakwa Weinstein cuba memaksanya mencium seorang wanita.

Bukan sekadar itu katanya, Weinstein juga membuat cubaan mengucupnya. Sewaktu kejadian, dia bertemu penerbit itu untuk mengadakan perbincangan filem di lobi sebuah hotel.

Selepas pengarahnya beredar, Weinstein memintanya untuk tinggal dan berborak dengannya.

“Sebaik kami ditinggalkan berdua, dia mula bercerita mengenai semua aktres yang pernah ditidurinya dan bagaimana mereka berjaya menempa nama.

“Dia turut bercerita mengenai perkara tidak senonoh dan berbaur seks sebelum meminta saya ikut ke biliknya. Serta-merta saya menolak.

“Saya bertanya pembantunya sama ada kereta saya berada di luar tetapi katanya tidak ada di situ dan lambat lagi sampai. Dia juga menyuruh saya ke bilik Weinstein.

“Pada saat itu, saya rasa sangat lemah dan takut tetapi tidak mahu menunjukkan perasaan itu kepada mereka,” katanya.

Cerita Cara lagi, dia lega apabila mendapati ada wanita lain dalam bilik Weinstein dan berfikir dirinya selamat. Bagaimanapun, dia terkejut apabila Weinstein menyuruh dia dan wanita berkenaan berkucupan.

Dia berusaha mencari helah untuk mengelak dan membuat permintaan untuk menyanyi bagi melepaskan dirinya daripada situasi canggung itu.

“Selepas menyanyi, saya kemudian meminta diri untuk pulang. Pada masa itu dia berada depan pintu dan cuba mengucup bibir saya.

“Saya terus menolak tindakannya dan melarikan diri dari bilik berkenaan. Saya berjaya dapat watak untuk filem itu dan fikir ia pasti semua disebabkan kejadian berkenaan,” katanya.

Cara akui dia tertanya-tanya sama ada dia layak atau tidak mendapat watak itu. Bagaimanapun, Cara tidak mahu mendedahkan tajuk filem berkenaan tetapi ada yang meramalkan kemungkinan besar filem Tulip Fever yang diterbitkan di bawah syarikat Weinstein.

Weinstein kini berhadapan detik gelap dalam hidupnya apabila ramai aktres yang pernah menjadi mangsa gangguan seksualnya bertindak tampil membongkar perlakuannya. Mereka termasuk Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie, Lea Seydoux, Rosanna Arquette, Mira Sorvin dan Cara.

Isterinya, Georgina Chapman bertindak mengakhiri perkahwinan mereka yang bertahan selama 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 3:15 AM
Digital NSTP Subscribe