IHSAN Johor Southern Tigers
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


PUTERA dan waris Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilahirkan, hari ini, dinamakan sebagai Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli melalui kenyataan media, berkata pemilihan nama itu adalah atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Jumaah Majlis Diraja Johor sukacita mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta'zim dengan telek pandang dan limpah perkenan Tuanku dan dengan persekutuan Jumaah Majlis Diraja menamakan putera dan waris Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor seperti berikut.

"Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu keluarga Diraja Johor, memperoleh perkhabaran gembira apabila isteri Tunku Ismail, Che' Puan Khaleeda Bustamam selamat melahirkan putera mereka, di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA), pagi ini.

Pengumuman kelahiran terbabit dikeluarkan menerusi kenyataan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor menerusi Facebook (FB) Johor Southern Tigers (JST).

Pada 25 Jun 2016, Che' Puan Khaleeda melahirkan cucu sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah, pada 9.17 pagi di HSA.

Sementara itu, Tunku Ismail pernah dalam satu status di Facebook meluahkan isi hatinya terhadap adindanya, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, yang mangkat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, dua tahun lalu.

Tunku Ismail menganggap Tunku Abdul Jalil sebagai seorang yang berhati mulia dan kerap membuatkan keluarganya tersenyum akan membawa nama adindanya itu oleh warisnya.

Berita berkaitan

Selamat datang waris takhta Johor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 7:32 PM