Norasikin Daineh


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Yusof Apdal direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Yusof, 57, adik kepada bekas Menteri KKLW Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah individu ke-9 yang ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam prosiding itu, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abd Hadi dan Rustam Anip serta Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin manakala Yusof pula diwakili Edward Paul dan Peter Lee.

Sebelum itu, Yusof tampil memberi keterangan di pejabat SPRM sebelum ditahan kira-kira jam 10 malam semalam.

Setakat ini, SPRM sudah menahan reman sembilan individu di Sabah dan Putrajaya termasuk lima ahli politik dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Di Sabah, mereka yang ditahan ialah Naib Presiden WARISAN Datuk Peter Anthony, 46; dan Ketua Wira parti itu Datuk Mohd Azis Jamman, 43; Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar, 43; Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, dan seorang ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52.

Seorang lagi adik Mohd Shafie, Hamid Apdal, 52, yang juga ahli perniagaan serta menantu Hamid, Manzur Hussien Awal Khan, 33.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian Persekutuan turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

Bagaimanapun, enam daripada mereka iaitu Peter, Yu, Mohd Azis, Jamawi, Ariffin dan wanita 40 tahun sudah dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan SPRM.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian Persekutuan di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion. Ia berdasarkan peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri ini antara 2009 hingga 2015.

Berita berkaitan

Seleweng RM1.5b: ADUN ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 12:31 PM
Yusof (tengah) diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin