Skip this ad x
Izham berpengalaman selama 38 dalam industri penerbangan.
Sri Ayu Kartika Amri


MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) melantik Kapten Izham Ismail sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) syarikat penerbangan itu berkuatkuasa serta-merta.

Izham yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dilantik bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Pemulihan MAS (MRP).

Sebagai COO sebelum ini, beliau bertanggungjawab bagi bahagian operasi termasuk operasi kejuruteraan membabitkan penerbangan dan lapangan terbang.

Beliau turut mengetuai penstrukturan bahagian kejuruteraan bagi memastikan operasi berjalan lancar dan juga menjadi orang penting dalam memastikan penjimatan bahan api.

Izham memiliki pengalaman selama 38 tahun dalam industri penerbangan dan memulakan kerjaya sebagai juruterbang Malaysia Airlines pada 1979.

Beliau juga menganggotai Lembaga Pengarah dalam pelbagai syarikat seperti MAB Kargo dan memulakan kerjayanya dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang terlatih daripada Philippines Airline Aviation School.

Beliau memecahkan rekod penerbangan dunia apabila menerbangkan pesawat pertama Malaysia Airlines, B777-200 dari Seattle ke Kuala Lumpur (dua hala), sekali gus mencipta rekod dunia yang baru untuk penerbangan terpanjang dan terpantas oleh pesawat komersial dengan jumlah penerbangan 41 jam 59 minit lebih kurang 23,310 batu.

"Saya sangat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menggalas jawatan ini. Keseluruhan kerjaya saya dihabiskan bersama Malaysia Airlines dan ini adalah tanggungjawab yang sangat besar, namun saya bersedia untuk memberi sepenuh pengalaman bagi memastikan MAB berada di landasan tepat serta menaikkan semula syarikat penerbangan nasional ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai GCEO baru, Izham akan terus menyokong pasukan pengurusan kanan yang terdiri daripada Ketua Pegawai Kewangan Omar Siddiq, Ketua Pegawai Komersial Arved von zur Muehlen, Ketua Pegawai Maklumat Tan Kok Meng dan Penasihat Eksekutif Nik Azli Abu Zahar.

MAB juga akan menerima Ketua Pegawai Modal Insan iaitu Datuk Mohd Khalis Abdul Rahim yang pada masa ini bertugas di Telekom Malaysia dengan jawatan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 10:31 PM