MAHU laksana impian perkenal masakan Malaysia di Australia.
MAHU laksana impian perkenal masakan Malaysia di Australia.
Michelle Gun


Selepas menjuarai program realiti memasak MasterChef Australia musim kesembilan, baru-baru ini Diana Chan merancang menggunakan wang dimenangi untuk membuka restoran menyediakan hidangan Malaysia.

Akauntan berusia 29 tahun dari Johor Bahru itu membawa pulang hadiah wang tunai RM834,000 (AU$250,000).

“Selepas MasterChef Australia, saya sangat sibuk menghadiri pelbagai acara. Jadi buat masa ini belum sempat buat apa-apa perancangan.

“Mungkin tahun depan saya akan merealisasikan impian itu dan mahu memperkenalkan masakan Malaysia kepada penduduk Australia,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.

Diana berpindah ke Australia ketika berusia 19 tahun untuk melanjutkan pengajiannya dan kini menetap di Melbourne.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui bukan mudah mencari bahan untuk menyediakan masakan tradisional Malaysia di negara itu.

“Ada kalanya, sukar untuk membuat hidangan Malaysia sekiranya bahan diperlukan tiada dijual di kedai dan pasar. Apabila berdepan situasi seperti itu, saya akan mencari bahan pengganti sesuai.

“Selain itu, saya suka membuat beberapa pengubahsuaian pada masakan, namun masih mengekalkan rasa tradisi hidangan berkenaan,” katanya.

Selain bercita-cita menjadi pengusaha restoran, dia turut merancang menghasilkan buku resipi masakan Malaysia termasuk beberapa resipi baru ciptaan sendiri.

“Saya akan berkongsi resipi keluarga dan masakan moden Malaysia yang mudah disediakan di rumah,” katanya.

Berkongsi pengalamannya belajar memasak, Diana memberitahu ibu bapanya mahir menyediakan hidangan Baba Nyonya.

“Saya dilarang memasak sendiri dan orang tua hanya membenarkan membantu mereka me­nyediakan bahan.

“Akhirnya, saya dapat masuk dapur selepas melanjutkan pengajian ke Australia dan mula belajar memasak dengan menonton program masakan,” katanya.

Dalam pada itu, Diana meluahkan rasa terharu di atas sokongan kuat rakyat Malaysia sepanjang menyertai program realiti popular itu.

“Saya terkejut apabila ramai orang Malaysia menghantar mesej peribadi untuk menyatakan kebanggaan dan sokongan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Diana kembali ke tanah air untuk bertemu peminatnya.

Selain berkongsi pengalaman dalam bidang masakan, Diana turut membuat demonstrasi menyediakan hidangan istimewa pasta udang pesto dan donut ricotta lemon yang dihidangkan bersama sos karamel masin.

Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran dua finalis MasterChef Asia dari Malaysia iaitu Jasbir Kaur dan Marcus Low.

Saksikan perjalanan kemenangan Diana dalam MasterChef Australia musim kesembilan di saluran Lifetime, setiap Sabtu, jam 12 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 2:56 AM