Mayat diangkat anggota bomba dan penyelamat selepas ditemui lemas di sungai Kampung Lubok, Kiulu. FOTO ihsan pembaca
Norasikin Daineh dan Recqueal Raimi


KEHILANGAN ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang parah akibat diserang seorang lelaki di Kampung Lubok, Kiulu, Tuaran semalam, terjawab apabila dia ditemui lemas hari ini.

Pada kejadian 3.05 petang hari ini, mayat ditemui oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, mayat Hanave Ingue, 23, ditemui di kawasan sungai pada jarak kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

"Setakat ini kita percaya wanita itu terjun ke sungai bagi menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, seorang lelaki berusia 66 tahun menetak seorang remaja lelaki 15 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah rumah di Kampung Lubok, Kiulu, Tuaran.

Remaja itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak perempuan itu parah dan kini menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas.

Kejadian dipercayai berpunca akibat suspek berselisih faham dengan bapa kepada remaja berusia 15 tahun itu.

Bagaimanapun, si bapa melarikan diri manakala ibu kepada kanak-kanak berusia tiga tahun dilaporkan hilang.

Difahamkan, remaja berusia 15 tahun dan kanak-kanak itu adalah sepupu.

Berita berkaitan

Anak pula menjadi mangsa sehingga terkorban

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:02 PM