(Gambar kiri) Zainal (kiri) dan Rosmani (kanan) mengunjungi rumah Siti Norenliriana sekeluarga yang baru diduduki empat hari lalu selepas kerja membaik pulih dilakukan. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif


“SELEPAS kisah kami tular di media sosial, saya malu nak keluar rumah. Ibu tinggal di Pahang terus jatuh sakit manakala ayah terpaksa tebalkan muka untuk pergi kerja,” kata Siti Norenliriana Mohd Fakeri, 30, seorang daripada 11 penghuni kediaman kotor dan tidak terurus di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, Melaka Tengah, ketika ditemui, hari ini.

Siti Norenliriana berkata, kecaman netizen selain komen yang ditokok tambah mengenai keadaan rumah mereka menyebabkan dia dan keluarganya berasa amat tertekan dan menanggung malu.

"Orang tidak duduk di tempat saya, tidak faham situasi kami, macam mana boleh kata begitu. Jadi tolonglah berhenti menjaja cerita tidak benar dan tokok tambah.

"Memang benar keadaan rumah saya begitu tapi jangan buat kesimpulan yang bukan-bukan. Kasihan ibu, kesihatannya terjejas selepas kisah rumah kami tular. Ayah pula segan untuk ke tempat kerja," katanya selepas menerima kunjungan Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Zainal Salam dan Ketua UMNO Cawangan Paya Lebar, Rosmani Kamarudin.

Ibu tunggal itu berkata, atas bantuan dan keprihatinan semua pihak, dia sekeluarga kini berusaha membuka ‘buku baru’ serta membuktikan perangai mereka bukan seperti digambarkan netizen di media sosial.

Tertekan akibat dikecam netizen, ibu kepada enam anak itu berkata, dia terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling, selain setuju tiga anaknya, Muhd Shawal Yuzy Sharif, 13, Puteri Norisha Alyya Sharif, 11, dan Puteri Sahara Sofia Sharif, 9, ditempatkan di asrama kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, mereka sekeluarga mula mendiami semula rumah itu Rabu lalu, manakala tiga anaknya dijangka berpindah ke asrama kendalian JKM minggu depan.

Tinjauan Harian Metro ke rumah dihuni 11 beranak itu mendapati keadaannya kini lebih terurus malah dilengkapi perabot seperti katil dan peralatan memasak sumbangan orang ramai.

Sementara itu Zainal berkata, netizen tidak sepatutnya mengecam keluarga berkenaan, sebaliknya menyelidik latar belakang mereka terlebih dulu sebelum berkongsi sebarang komen di media sosial.

"Pada saya, bantuan kerajaan negeri dengan semua sukarelawan adalah atas dasar tanggungjawab, kita berjaya selesaikan 95 peratus masalah Siti Norenliriana, terutama persekolahan tiga anaknya yang terabai sebelum ini.

"Tak perlulah keruhkan lagi keadaan, kasihan dia dikecam. Orang tak tahu masalah dia, jadi tak perlu buat andaian sendiri. Sekarang tengok rumah pun tak sakit mata memandang, anak-anak dia kini hidup dalam keadaan lebih selesa," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kisah Siti Norenliriana dan 10 isi rumah itu termasuk lima anaknya mendapat perhatian kerajaan Melaka yang membelanjakan lebih RM10,000 untuk membantu membaik pulih rumah mereka.

Namun, berita yang tular di laman sosial itu dikecam hebat netizen dengan pelbagai komen negatif termasuk ada melabel mereka sebagai pengotor dan pemalas.

Berita berkaitan

'Saya tak larat nak kemas'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 7:48 PM