SUKRI bersama anak bongsunya memasukkan botol plastik ke dalam guni untuk dijual. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang bapa tunggal sanggup melakukan apa saja pekerjaan yang termampu demi menyara empat daripada 10 anaknya yang masih bersekolah.

Dia tidak mempunyai kelulusan akademik manakala pekerjaan kampung dan mencari barang terbuang saja yang dapat dilakukan, asalkan perut mereka anak beranak terisi dan anaknya dapat ke sekolah.

Sukri Abdullah, 55, berkata, kematian isterinya, Wan Nora Wan Ahmad, dua tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru menyebabkan kehidupan mereka semakin menderita.

“Saya bapa dan saya juga ibu kepada mereka. Rutin saya berubah sepenuhnya dan pekerjaan dilakukan tergendala kerana perlu bahagikan masa untuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah selain menyediakan keperluan mereka.

“Namun, dengan kudrat yang ada, saya akan tetap mencari barang terbuang untuk dijual bagi menyara mereka terutama anak yang masih bersekolah,” katanya.

Anaknya yang masih bersekolah, Mohd Lokman, 16, Siti Nur Suriati,14, Mohd Zulkarnain, 12, dan Mohd Al Hafiz, 9.

“Saya bersyukur kerana tiga anak (Nur Hafizah, 26, Mohd Zulhakim, 24, dan Siti Jisam, 22) yang sudah bekerja membantu meringankan beban saya walaupun pendapatan mereka juga tidak seberapa.

“Tetapi cukuplah untuk bantu adik mereka ke sekolah dan beli barang keperluan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Baiti Jannati, Pengkalan Chepa.

Menurutnya, setiap hari selepas menghantar anaknya ke sekolah, dia mencari apa saja barang buangan di kawasan berdekatan untuk dijual seperti kotak, besi buruk dan botol plastik.

“Hasil kutipan yang diperoleh setiap hari tidak menentu, ada masanya banyak dan ada masanya sedikit. Biasanya, barang yang dikutip ini terus dijual kepada pembeli barang kitar semula di Kota Bharu dan dalam sehari, saya memperoleh antara RM10 hingga RM20,” katanya.

Disebabkan kesempitan hidup, dia juga tidak dapat membayar bil elektrik yang kini tertunggak dengan jumlah melebihi RM1,000.

“Pada masa sama, anak keenam saya (Siti Nur Shuhada, 18) terpaksa menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Poly Tech Mara (KPTM) kerana kemiskinan kami.

“Walaupun Shuhada memahami keadaan ini, sebagai ayah saya tetap sedih apabila mengenangkan dia tidak dapat mengejar cita-citanya untuk berjaya hingga ke menara gading.

“Setiap kali saya keluar mencari barang terbuang, Shuhada menjaga adiknya di rumah sementara abang dan kakaknya keluar bekerja,” katanya yang menggunakan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan untuk membeli keperluan anaknya.

Dia turut berjimat cermat dengan wang bantuan itu kerana membuat sedikit simpanan untuk kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 10:33 AM