MICHAEL Chong (lima kiri) menunjukkan kecederaan pada anggota Rela yang dipukul.
Kalidevi Mogan Kumarappa


HANYA kerana meminta mengalih kenderaan pelbagai guna (MPV) yang menghalang laluan di hadapan tokong, lelaki yang mengaku dirinya 'Datuk Seri' didakwa memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kerana tidak menunjukkan hormat kepadanya.

Kejadian berlaku di tokong di Ampang di mana satu sambutan diadakan pada pagi Jumaat dan sepasukan anggota RELA bertugas untuk membantu memantau lalu lintas di kawasan itu.

Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA berkata, ketika kejadian, tiga anggota Rela itu, Ranbo Lee, 27; Jackie Leong, 21; dan Melvin Cheong, 19, pada mulanya meminta pemandu lelaki itu mengalihkan

kenderaannya ke tempat lain kerana menghalang laluan.

“Bagaimanapun, pemandunya mendakwa perlu meminta kebenaran majikannya dan apabila lelaki berusia 28 tahun itu mendapat tahu mengenai hal itu, dia naik angin.

“Satu pertelingkahan berlaku selepas lelaki itu menuduh anggota Rela berkenaan tidak menunjukkan hormat kepadanya.

“Dalam kejadian itu, Ranbo lebam dan bengkak pada mata kirinya, badan Jackie ditendang manakala Melvin dipukul di kepala oleh lelaki itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan yang mengesahkan laporan daripada tiga mangsa berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pengesahan status suspek juga sedang dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 7:22 PM