Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“SAYA datang ke Stadium Larkin, 8 malam tadi. Tak mau terkilan,” kata penyokong Johor DT, Reduan Abdullah, 50.

“Penantian lebih 12 jam itu saya harap berbaloi kerana sudah berada di depan barisan,” katanya ditemui di Stadium Larkin, hari ini.


FOTO Mohd Azren Jamaludin

Katanya, walaupun tidak melelapkan mata, dia berharap dapat membalas tidurnya selepas mendapatkan tiket itu.

“Mujur hari ini saya tidak bekerja,” katanya.

Katanya, dia akan bertolak menyaksikan perlawanan akhir itu dari kediamannya di Pasir Gudang, Jumaat ini.

“Saya akan berkonvoi bersama bas membawa penyokong JDT dan berharap JDT menang 2-0 ke atas Kedah,” katanya.


FOTO Mohd Azren Jamaludin

Berkongsi semangat, pesara, Abdullah Othman, 55, berkata dia juga sudah berkampung di stadium itu sejak 29 Oktober.

“Saya harap dapat empat tiket untuk ditonton bersama dua cucu yang menetap di Muadzam, Pahang.

"Kebetulan saya berjanji pada dua cucu. Jika JDT mara ke final saya akan membawa mereka ke stadium untuk perlawanan akhir," katanya yang menetap di Felda Pasir Raja, Kulai.

Katanya, dia juga terkilan tidak dapat membeli tiket secara atas talian.

Semangat Luaskan Kuasamu Johor dibawa Abdullah yang juga dikenali Pak Lah.

Malah Pak Lah berharap pasukan kesayangannya itu dapat menewaskan Kedah 3-0, di Stadium Shah Alam, Ahad, 4 November ini.

Tinjauan di Stadium Larkin mendapati penyokong Harimau Selatan itu beratur panjang berikutan bagi mendapatkan tiket.


FOTO Mohd Azren Jamaludin

Tinjauan malam tadi juga menyaksikan beberapa khemah kecil didirikan penyokong pasukan JDT sebelum keadaannya kembali seperti biasa pagi ini.

Bagi memastikan perjalanan penjualan tiket berlangsung dalam keadaan baik, 12 marshall ditugaskan memantau perjalanan aktiviti penjualan tiket di dua kaunter khas termasuk kaunter bermusim.

Selain itu, Harian Metro turut menjual 2,000 naskhah akhbar itu kepada penyokong pasukan itu.

Harian Metro turut menyelitkan lima sabun bernilai RM5 bagi pembelian senaskhah berharga RM1.50.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 11:07 AM