SETIAP hari Cat kemas bilik anak walaupun tidak ada penghuni sejak jadi bapa tunggal.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Hidup sebagai bapa tunggal tidak semudah yang disangka. Bagi penyanyi dan pelakon Cat Farish, dia melalui kehidupan setiap hari dengan penuh rasa rindu terhadap anak.

“Anak tinggal bersama bekas isteri saya di Bangi, manakala rumah saya pula di Jalan Ipoh. Saya sibuk dengan kerja dan mereka pula sibuk dengan sekolah dan sebagainya.

“Memang rindu teramat sangat. Tapi, saya faham, ada masanya mereka perlu habiskan masa dengan ibu mereka,” katanya.

Cerita Cat, setiap hari dia akan mengemas bilik anaknya walaupun tidak berpenghuni.

“Setiap hari, saya menantikan kehadiran anak untuk memeriahkan rumah saya. Kalau ada hari yang boleh ambil mereka dan bawa pulang, saya akan ambil.

“Jadi kemestian setiap hari saya akan mengemas bilik anak. Kadang-kadang, saya bercakap sendirian kerana terlalu rindukan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan kembali berumah tangga memandangkan bekas isterinya, Hartiny Ramli kini sudah berkahwin, ini jawapan Cat:

“Memang saya sudah meneruskan kehidupan seperti biasa, namun tak semestinya kalau kita sudah berjaya melepasi semuanya, penanda arasnya adalah dengan berkahwin.

“Ada yang rapat dengan saya dan saya pun sudah membuka hati untuk menerima orang baru. Namun, ada beberapa hal yang membuatkan saya trauma dengan perkahwinan.”

Walaupun sudah berpisah sejak April tahun lalu, hubungannya dengan bekas isterinya masih baik kerana anak iaitu Nia Karlyssa, 10, Eva Latheefa,7, dan Qul Iskandar, 6, diutamakan dalam segala hal.

Terbaru, Cat dan temannya daripada kumpulan Ruffedge akan kembali menghangatkan industri muzik tanah air selepas 10 tahun tidak bersama.

“Insya-Allah, semuanya kini dalam perancangan dan Ruffedge akan buat kemunculan semula dengan anggota asal.

“Kami tergerak hati untuk kembali aktif kerana belum ada kumpulan yang melantunkan lagu genre R&B seperti yang kami lakukan,” katanya.

Selain itu, dia juga baru saja selesai menjalani penggambaran filem komedi seram Hantu Wangan di samping beberapa pelakon lain antaranya Achey dan Nur Risteena.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 6:45 AM