GAMBAR hiasan
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


PENUNTUT wanita sebuah universiti tempatan menjadi mangsa samun dan rogol selepas diperdaya lelaki yang berpura-pura bertanyakan arah jalan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika gadis berusia 22 tahun yang berseorangan itu baru pulang dari pasar malam di Seksyen 7, Shah Alam menghala ke sebuah hentian bas sebelum didatangi suspek.

Beliau berkata, suspek berusia 20an itu berpura-pura bertanya arah jalan kepada mangsa.

"Pada masa sama, suspek mengacukan pisau dan menarik mangsa ke dalam kereta lalu menghala ke kawasan kilang berhampiran sebuah pangsapuri di Seksyen 7.

"Selepas memberhentikan kereta di kawasan gelap suspek merogol mangsa.

"Suspek turut merampas wang tunai RM100 dan telefon bimbit mangsa sebelum mengarahkan mangsa turun dari kereta.

"Mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut dan satu pasukan khas kini sedang memburu suspek," katanya.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol, Seksyen 392 dan 397 kanun sama, iaitu merompak dengan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Mangsa dengan dibantu kakaknya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 selepas kejadian dan kes berkenaan turut tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:53 PM