FOTO Faiz Anuar


HUJAN tidak menghalang antara 300 dan 400 pembeli yang begitu sabar untuk mendapatkan ikan murah di Jalan Kebun Barat, Seksyen 32, Shah Alam, hari ini.

Pengguna mula membanjiri kawasan itu seawal kira-kira 7 pagi bagi merebut peluang membeli ikan dan ayam yang dijual RM5 bagi setiap kilogram.


FOTO Faiz Anuar

Norizan Abdul Karim, 60, berkata dia bersyukur apabila datang lebih awal iaitu selepas sarapan.

“Masa tu pun dah ramai beratur. Dalam beberapa minit saja ramai dan beratur panjang di belakang saya.

“Seujujurnya, saya tak pernah beratur ramai seperti ini kerana mahu membeli ikan. Dah macam nak beli tiket bola saya tengok,” katanya ditemui dalam Program Ikan Harga Patut hari ini.

Menurutnya, dia datang ke program itu untuk membeli kembung dan kerisi kerana harganya sangat murah.

Pelanggan, Roslila Ishak, 41, berkata: “Saya ada anak lima. Jadi, bila ada program seperti ini, saya dapat berjimat berkali ganda.


FOTO Faiz Anuar

“Perlu ada program seperti ini sekali gus membantu masyarakat seperti kami ini. Ikan mahal kerana orang tengah...jika setiap hari macam ini pun tak apa,” katanya yang datang dari Klang.

Sementara itu, penganjur Mohamad Khusyairi Abdul Aziz, 43, berkata, program itu diadakan untuk membantu masyarakat yang selalu menjadi mangsa orang tengah.

“Hari ini, kita bawa kembung, cencaru, sardin dan kerisi dari Sungai Besar. Semuanya dijual RM5 sekilogram.

“Kita bawa 5,000 kilogram ikan. Supaya adil...kita hadkan dua kilogram bagi setiap pembeli. Biar semua orang dapat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 11:06 AM