LAKONAN dalam FTV Wanita Terindah berganding lagi dengan Fazura dapat pujian ramai.
Syanty Octavia Amry


Pelakon Fattah Amin gembira apabila ramai yang memuji lakonannya dalam filem TV (FTV), Wanita Terindah.

Baginya itu adalah satu semangat untuknya terus memperbaiki mutu lakonan supaya lebih baik lagi.

Wanita Terindah adalah gandingan keduanya bersama pelakon jelita, Nur Fazura selepas pertama kali dalam drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella.

Fattah berkata, peranannya dalam Wanita Terindah sangat berbeza daripada apa yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Rasa sangat bertuah kerana saya dikelilingi ramai pelakon dan produksi berpengalaman yang banyak membantu menghidupkan watak dalam cerita itu.

“Tidak mudah untuk saya kerana watak sebagai Fahim adalah seorang lelaki yang panas baran. Pertama kali saya menjayakan watak seperti ini dan ia sangat mencabar kerana perlu mengekalkan momentum itu supaya ia tidak lari,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi gandingan bersama Fazura buat kali kedua, Fattah berkata, tidak sukar mencari keserasian kerana sebelum ini mereka pernah bekerja bersama-sama.

“Syukur kami tidak susah hendak mencari keserasian bersama. Pengalaman sebelum ini banyak mematangkan saya daripada segi teknik lakonan.

“Berlakon di samping Fazura juga menjadi lebih mudah kerana kami sudah ada keserasian sebelum ini.

“Apatah lagi sebagai pelakon yang mempunyai banyak pengalaman Fazura banyak membantu saya di set penggambaran,” katanya.

Sementara itu, Fazura pula berkata, FTV Wanita Terindah memperlihatkan sisi matang Fattah sebagai pelakon.

“Saya lihat banyak perubahan dalam lakonannya dan dia semakin matang serta tidak ‘kayu’ seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wanita Terindah juga menampilkan pasangan itu berlakon bukan sebagai kekasih.

“Kami tidak mahu penonton bosan jika asyik lihat kami berlakon sebagai pasangan kekasih saja. Ini adalah kelainan yang cuba kami tampilkan kepada peminat.

“Peminat boleh melihat kami dalam watak dan situasi berbeza kali ini di mana kami bukannya sekadar menjual kisah cinta semata-mata,” katanya.

Selain Fattah dan Fazura, Wanita Terindah turut menampilkan Sarah Hildebrand, Liza Othman, Adam Mika, Ridzuan Hashim dan Samantha Katie James.

Wanita Terindah sudah pun ditayangkan menerusi saluran Astro First Eksklusif sejak 2 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 9:57 AM