KEMBALI gah dengan Katharsis selepas 11 tahun.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Konflik yang berlaku langsung tidak menggugat semangat Amy (penyanyi), Nasir (bass), Kid (gitar) dan Nordin (gitar).

Mereka tidak mudah goyah dan mengalah. Bak pahlawan, Search terus berjuang dan hasilnya berjaya menyiapkan album terbaru berjudul Katharsis.

Nasir menolak dakwaan mengatakan album ini dihasilkan bertujuan mengalih tumpuan peminat terhadap isu saman AF Jets terhadap Search atau konflik dengan pemain dram, Yazit.

“Tak perlu fikir perkara itu kerana Katharsis perlu diraikan selepas 11 tahun kami tidak merakamkan album.

“Masalah yang dihadapi akan diselesaikan dengan baik. Kami tak mahu mencampur aduk semua perkara dalam satu masa,” katanya.

Apa yang menarik, album studio ke-12 ini menjadi karya paling lama untuk disempurnakan iaitu mengambil masa 700 jam.

Kali terakhir tampil dengan album Gothik Malam Edan pada 2006, Search kini kembali mendapatkan sentuhan berbisa Datuk M Nasir sebagai penerbit album.

Nasir berkata, mereka memberikan komitmen penuh terhadap album ini dan hanya mahu lakukan yang terbaik.

“Tempoh 700 jam bagi menyiapkan album Katharsis mencatat sejarah baru sepanjang karier kami,” katanya.

Gandingan semula dengan M Nasir adalah sesuatu yang ditunggu oleh peminat. Sejak album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985, Search sudah bekerjasama dengan M Nasir, malah penerbit album itu adalah orang yang bertanggungjawab membawa Search ke industri muzik tanah air.

Search bersyukur kerana pencarian seni mereka menemukan hasil positif apabila seorang usahawan yang juga peminat mereka iaitu Datuk Ahmad Zaharul Annuar bersetuju menerbitkan album ini.

Album ini diterbit dan diedarkan Pawana Music dan Fenomena Music milik Ahmad Zaharul.

Amy berkata, pada mulanya Ahmad Zaharul bertemu mereka kerana mahu bekerjasama mengeluarkan semula album terdahulu Search dalam format piring hitam (vinyl) dan cakera padat (CD) remastered.

“Bagaimanapun, selepas beberapa pertemuan dan perbincangan, kami akhirnya membuat keputusan merakamkan album baru.

“Sebaik saja kami mendapat tawaran merakamkan album ini, permintaan pertama kami ialah cari M Nasir. Apabila dia bersetuju saja, kami tidak berlengah lagi dan terus masuk studio,” katanya.

Nasir berkata, seperti juga album terdahulu, mereka bersama M Nasir akan memasuki studio tanpa sebarang idea.

Idea hanya muncul di dalam studio dan dari situlah ia berkembang hinggalah terhasilnya sebuah album.

“Itu memang cara kami sejak dulu. Kita akan mula cari lagu yang sesuai bersama-sama. Biasanya M Nasir akan mencipta melodi dan kami akan membuat susunan muzik. Namun, kadang-kadang kami hasilkan susunan muzik dulu dan selepas itu baru M Nasir masukkan melodi. Cara begini tak banyak band yang boleh buat, hanya band yang berpengalaman saja,” katanya.

Menurut Amy, Katharsis dihasilkan selepas Search menjumpai gandingan yang betul yang boleh mengembalikan kegemilangan mereka.

“Sebelum ini kami ada perasaan ragu-ragu dengan individu yang ditemui. Search buat album kerana sudah ‘move on’ (melangkah keluar) daripada masalah sebelum ini.

“Daripada memikirkan hal lalu, ada baiknya kita berikan tumpuan kepada perkara yang lebih baik. Saya tak menafikan hakikat yang dihadapi, tapi nanti kita selesaikan satu persatu. Kami enggan menoleh belakang lagi,” katanya.

Khas buat 3 generasi peminat

Katharsis adalah istilah Yunani Purba bermaksud satu proses penyucian, pembersihan dan pengaslian jiwa raga.

Ia juga membawa maksud melupuskan emosi yang lara menerusi apresiasi terhadap pengkaryaan seni atau menerusi luahan emosi dan perubahan emosi secara ketara.

Menurut Nasir, judul itu dicadangkan M Nasir dengan persetujuan bersama.

“Judul ini memang tepat dengan keadaan semasa dan suasana Search ketika ini. Dalam Search, kami melepaskan segala emosi, perasaan, pengalaman serta apa yang dipendam dalam tempoh 11 tahun selepas album Gothik Malam Edan menerusi album ini,” katanya.

Nasir berkata, cabarannya ialah mencari lagu yang bagus, namun mereka sendiri mempunyai lebih daripada 10 lagu.

“Kami ambil hanya yang terbaik apabila lima lagu adalah ciptaan M Nasir, dua ciptaan saya dan selebihnya ciptaan Din serta anggota Search.

“Saya akui lagu dalam album ini sangat sedap. Ia ada elemen lama dan gandingan Search bersama M Nasir mewujudkan ‘soul’ Search,” katanya.

Selain M Nasir, Search turut bekerjasama dengan penulis lirik prolifik yang pernah menjayakan album terdahulu seperti S Amin Shahab, Usop dan Buddi Hekayat.

Selain itu, mereka turut menggunakan khidmat pemuzik undangan seperti Pae (dram), Zul Mahat dan Firdaus yang bermain keyboard.

Bagi Amy, Katharsis masih mengekalkan gaya muzik rock & roll Search, merangkumi ‘sound’, muzik, ‘chemistry’ dan hala tuju yang berakar umbi identiti mereka.

“Album ini istimewa kerana digarap khas buat tiga generasi pengikut tegar kami. Ia ibarat mengimbau kembali kegemilangan Search menerusi album Fenomena.

“Pada saya apa yang dilahirkan adalah sesuatu dari hati kami. Lagu ini juga akan dikeluarkan dalam bentuk digital. Kami tak nak berada di takuk lama dan kena buat sesuatu yang berbeza.

“Sound gitar Din dan Kid juga lebih berat. Din menghasilkan riff yang lebih berat berbanding sebelum ini. Kid pula melakukan solo gitar daripada jiwanya. Ini ditambah dengan sentuhan M Nasir yang cukup serasi dengan kami,” katanya.

Sidang Kangaroo single pertama

Lagu Sidang Kangaroo ciptaan M Nasir, Amy, Nasir Rockfather, Din, Kid, Pae dan lirik oleh Ishmael MS diketengahkan sebagai single pertama album ini.

Single ini berada di pasaran digital bermula 2 November lalu dan diedarkan Indigital Sdn Bhd.

Menurut Nasir, lirik bersifat satira ini merungkai makna ‘kangaroo court’ atau mahkamah kangaroo.

“Ia adalah istilah umum untuk menggelar perbicaraan yang tidak adil, pertuduhan yang tiada bukti atau saksi yang tidak boleh dipercayai.

“Situasi ini mungkin perbicaraan sebenar atau perbicaraan diadakan hanya untuk ‘mengejek’ apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Istilah ‘kangaroo court’ dipercayai berasal dari Australia ketika zaman ‘Penal Colony’ pada kurun ke-19 apabila butiran perbicaraan berubah dan ‘melompat-lompat’ untuk menjustifikasikan kesalahan banduan.

Kini, Kangaroo Court of Australia aktif sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memantau salah laku dalam pentadbiran awam.

Dalam pada itu, Search juga bakal tampil dengan Konsert Gegaran! anjuran Dcode Juara Dunia di Tapak Bazarena, Shah Alam pada 2 Disember ini.

Konsert yang turut menampilkan band popular Indonesia, Nidji, Bunkface, Hujan dan Oh! Chentaku itu bermula pada jam 5 petang.

Apa yang pasti, ia bakal menyaksikan Search pertama kali akan memainkan lagu terbaru mereka secara ‘live’.

Maklumat mengenai tiket di www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 11:37 AM