MOHD Fikri (tiga kiri) dan Fatimah (dua kiri) menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas dua pertuduhan menganiayai anak lelaki mereka berusia 10 tahun dengan merantai lehernya pada tong gas di rumah mereka di Indera Mahkota 1, Kuantan, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Farid Fikri Mohamad, 32, dan isterinya, Fatimah Muhammad Zain, 37, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Unaizah Mohd.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh secara bersama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu dengan merantai lehernya pada tong gas antara 1 pagi hingga 9.15 pagi pada 5 Oktober lalu.

Mereka melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membiarkan mangsa tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan antara 8 pagi hingga 10.30 malam, 31 September hingga 4 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 33 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Shahrul Ekhsan Hassim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.

Kanak-kanak lelaki berkenaan adalah anak kandung Fatimah dari perkahwinan terdahulu dan mangsa kini ditempatkan dalam jagaan bapa kandungnya.

Hakim menetapkan jaminan RM6,000 seorang bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 9 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan bogel dan todak sedarkan diri dalam keadaan lehernya dirantai pada tong gas.

Perbuatan itu dilakukan bapa tirinyahanya kerana tidak tahan dengan kedegilan mangsa yang tidak mahu ke sekolah.

Berita berkaitan:

Bapa kandung dapat hak penjagaan

Reman bapa tiri disambung

Keadaan tiga beradik lain disiasat

Ingin jumpa bapa kandung

Nak mendidik atau menyeksa?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 1:29 PM