NORA dan Ridzuan menguruskan Nor Akma yang tidak mampu bergerak sejak lahir.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Permaisuri: “Sudah 29 tahun saya dan suami menjaganya dan walaupun menerima bantuan RM200 sebulan, ia memang tak cukup,” kata Nora Ibrahim, 49, ibu kepada Nor Akma Ridzuan, 29, yang lumpuh seluruh tubuh ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Bukit Nyior Pelong, semalam.

Nor Akma hanya terlantar dan langsung tidak mampu bergerak serta bercakap sejak berusia sembilan bulan selepas diserang demam panas.

Nora berkata, dia dan suami, Ridzuan Mohamad, 53, menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan yang hanya boleh digunakan untuk membeli lampin pakai buang manakala bagi keperluan lain termasuk susu khas, dia memerlukan sumbangan orang ramai.

“Sedih juga mengenangkan nasib Akma sejak diserang demam panas, kebajikannya sering dipandang mudah malah hingga sekarang dia tidak memiliki kad OKU (orang kurang upaya).

“Kad pengenalannya juga dalam proses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Katanya, dia tetap berterima kasih kepada JKM kerana membantu, namun berharap bantuan yang diberikan ditingkatkan bagi menampung kos bagi menguruskan anak sulung daripada lima beradik itu.

“Kami berharap kad OKU juga dipertimbangkan untuk Akma kerana permohonan sudah dibuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:38 AM