PERJALANAN seni Alicia bukan mudah malah kerap menangis dan hampir berputus asa.
Ardini Sophia Sina


Kejayaan Alicia Vikander dalam bidang lakonan dan perkahwinannya dengan Michael Fassbender membuatkan dia antara wanita bertuah.

Aktres kelahiran Sweden yang kini menetap di London, kini antara pelakon kelas A selepas membintangi beberapa filem seperti Ex Machina dan The Man From U.N.C.L.E.

Alicia juga pernah dicalonkan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Golden Globe dan menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Academy menerusi lakonannya dalam filem The Danish Girl.

Mula berlakon sejak 2008 di negara kelahirannya kemudian melebarkan sayap di Hollywood pada 2010, Alicia berpeluang berlakon dalam naskhah pelbagai genre, watak dan berganding dengan pelakon ternama serta pengarah terkenal.

Alicia pernah berlakon dengan Matt Damon dalam filem Jason Bourne dan memegang watak Lara Croft dalam Tomb Rider yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

Malah impiannya untuk bekerjasama dengan pengarah Wim Wender dan James McAvoy serta Lisa Langseth juga sudah terlaksana. Dia dilihat sebagai anak seni yang menyempurnakan semua angan-angannya.

Bagaimanapun, untuk berada di tahap itu bukanlah perjalanan mudah. Tiada siapa tahu Alicia kerap menangis dan hampir berputus asa mencapai impian bergelar pelakon terkenal.

Katanya, mengeluarkan watak lakonan dalam diri bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi kalau karakter itu jauh berbeza dengan diri sebenar.

“Saya terpaksa berlatih berulang kali. Pada usia 16 tahun, saya pernah mencuba berlakon dalam drama sekolah tetapi ditolak. Perkara itu membuatkan saya sangat kecewa.

“Kemudian saya bekerja di kedai Levi’s untuk mencari wang poket. Ketika itu saya mendapat panggilan telefon meminta hadir uji bakat untuk filem Sweden arahan Lisa Langseth.

“Berkali-kali saya berlatih membaca skrip di hadapan Lisa, barulah berjaya mendapatkan watak itu. Ketika itu saya menyedari dalam lakonan, kita diberikan lesen untuk berasakan emosi negatif yang pada realitinya cuba kita buang jauh-jauh,” katanya.

Katanya, bahasa tubuh juga penting untuk menceritakan perasaan, konflik dan perkara yang sedang terjadi dalam babak tertentu. Dalam hal tertentu, hanya bahasa tubuh saja yang diperlukan.

Cuba menembusi pasaran seni di Hollywood memberikan satu cabaran baru buatnya. Di London, dia berkongsi tempat tinggal dengan tiga gadis yang turut sama mencari peluang di sana.

“Rumah kami berada di tengah-tengah Portobello Market. Kami umpama berkongsi dapur dengan tikus. Ia adalah kawasan paling kotor yang pernah anda lihat.

“Kami tidur berkongsi dua katil dan pakaian kami lipat dan susun atas lantai tepi dinding. Saya pernah menghadiri uji bakat Snow White and the Huntsman dan The Girl with The Dragon Tattoo tapi gagal.

“Saya hampir putus asa dan menangis. Akhirnya, saya dipanggil menjalani uji bakat bagi filem adaptasi Anna Karenina. Pihak produksi melihat lakonan saya dalam filem Pure,” katanya.

Sebelum berada di puncak, Alicia pernah berlakon dalam beberapa filem yang gagal mendapat sambutan seperti Son Of A Gun, Seventh Son dan The Fifth Estate.

Naskhah Testament Of Youth akhirnya membuka peluang tetapi namanya hanya mulai menjadi sebutan selepas berlakon dalam karya Ex Machina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 9:58 AM