Gambar terakhir Nur Khairina dan ibunya bersama ayahnya dan berita kemalangan mengorbankan ayahnya.
Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my


HIDUP dalam keadaan ayah sudah tiada, ibu pula mengalami masalah penglihatan pasti sukar.

Bagaimanapun, bagi Nur Khairina Alisha Razali, 17, yang kini masih 'berjuang' dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mahu terus pandang ke depan demi keluarganya.

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun Terengganu berkata, ayahnya, Razali Ahmat@Sebulik meninggal dunia akibat kemalangan pada 6 April lalu ketika usianya 39 tahun.

Katanya, ibunya Noor Haslinda Daud, 39, mengalami masalah penglihatan akibat kencing manis dan sebagai anak sulung daripada tiga beradik dia kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga meskipun baru berusia 17 tahun.

"Arwah ayah yang menanggung kami sekeluarga sebagai pemandu lori dan ibu tidak bekerja kerana tidak dapat melihat. Kini ibu dan dua adik saya menumpang di rumah nenek sementara menunggu saya habiskan belajar di sini.

"Ayah dah ajar bagaimana mencari duit dan hidup susah. Alhamdulillah, ayah tinggalkan saya dengan ilmu dan mendidik saya untuk berdikari.

"Saya mahu sambung belajar dalam jurusan asasi akaun supaya segera habis belajar dan bekerja untuk menampung keluarga," katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Mengimbas kembali kisah duka ketika menerima berita pemergian ayahnya, Noor Haslinda berkata, ketika itu dia menyertai pertandingan debat.

"Cikgu gagal hubungi saya kerana tiada liputan telefon di kawasan berkenaan, bagaimanapun selepas dua jam baru saya tahu ayah sudah tiada.

"Ketika itu tiada setitik air mata yang jatuh kerana berita itu sukar untuk saya percaya. Setiba saya di rumah dan lihat jenazah ayah, baru saya sedar ayah betul-betul dah tinggalkan kami," katanya.

Sebelum ini, coretan Nur Khairina mengenai kisah hidupnya tular media sosial sehinggakan mendapat simpati dari netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 10:00 PM