HANNAH Delisha. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas selesai menjalani penggambaran filem Langsuir, Hannah Delisha kini menanti tarikh tayangannya yang dijangka pada April 2018.

Walaupun agak lama, dia yakin momentum gandingannya dengan Syafiq Kyle masih kuat dan tidak perlu bimbang.

“Saya tidaklah bimbang sangat kerana ramai yang menyokong kami sejak digandingkan dalam drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer,” katanya.

Menurut Hannah, dia yang sering berinteraksi dengan peminatnya tahu ramai menantikan kehadiran filem sulung lakonannya itu.

“Kami ada rancangan tersendiri. Ada peminat saya dan Syafiq sememangnya menantikan kehadiran filem ini di pawagam,” katanya.

Bercerita mengenai filem pertamanya itu, ia umpama pengalaman baru buat pelakon dari Singapura ini.

“Banyak babak berat dalam filem ini. Saya membawa watak sebagai Suri yang memerlukan menjadi langsuir dan manusia biasa.

“Satu lagi pengalaman yang saya dapat daripada penggambaran filem Langsuir adalah apabila berpeluang meneroka pelbagai tempat baru dan terpencil yang sangat mencabar,” katanya.

Bergenre romantik seram, Langsuir mengambil beberapa lokasi terpencil di Langkawi sebagai lokasi penggambaran.

“Mungkin kerana lokasinya sedikit ‘keras’, ada beberapa gangguan yang tidak keterlaluan dan kejadian aneh.

“Namun, semuanya berjalan dengan lancar. Saya lagi bimbangkan bahaya fizikal berbanding perkara ‘spiritual’,” katanya.

Ditanya mengenai penjiwaan watak sebagai Suri, Hannah ada caranya yang tersendiri.

“Saya perlu kekalkan jiwa saya sebagai Suri walaupun di luar set. Ketika waktu rehat, saya banyak duduk menyendiri dan memandang pemandangan. Sesekali saya nyanyikan lagu Jawa dan mendengar gamelan.

“Dalam kepala, saya sentiasa berfkir mengenai latar belakang, kehidupan dan tempat tinggal Suri yang memang lain daripada manusia biasa,” katanya.

Pencapaian membanggakan dalam tempoh setahun

Selain lakonan, Hannah masih aktif sebagai penyanyi dan kini hadir dengan single terbarunya berjudul Esok Masih Ada.

“Esok Masih Ada adalah lagu ciptaan Hyper Act dan video muziknya juga sudah dilancarkan di YouTube. Kini, saya dalam rangka promosi untuk lagu baru itu,” katanya.

Kini, Hannah mampu tersenyum dengan pencapaiannya dalam bidang seni.

Siapa sangka, dalam tempoh setahun, dia sudah membintangi lapan drama berbahasa Melayu di Malaysia dan Singapura serta satu drama berbahasa Inggeris.

Tidak terhenti di situ, Hannah juga semakin selesa bergerak sebagai pengacara dan akan memulakan penggambaran untuk program travelog tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 4:25 AM