OPERASI yang dijalankan AADK sempena Kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) di Johor. Gambar kecil, Dr Abd Halim. FOTO Ihsan AADK & Owee Ah Chun
Hamizah Badiran


Kuala Lumpur : Penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini semakin membimbangkan apabila mereka didapati mula terjebak dengan najis itu seawal umur tujuh tahun.

Itu antara isu dan cabaran terkini penyalahgunaan dadah di negara ini yang amat dikhuatiri.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, sehingga kini bilangan penagih dadah dalam kalangan remaja semakin meningkat dengan rekod tangkapan membabitkan mereka pada 2015 dan 2016 menunjukkan peningkatan ketara.

“Pendedahan awal kanak-kanak dan remaja kepada dadah, di samping wujudnya beberapa faktor risiko seperti dadah mudah diperoleh, tingkah laku antisosial, ahli keluarga mempunyai sejarah penagihan, kegagalan dalam akademik, merokok, konflik dan masalah masalah ekonomi keluarga serta sebagainya menjadi kebarangkalian mengapa mereka menggunakan dadah pada usia muda.

“Selain itu, AADK turut mengenal pasti beberapa isu utama lain seperti penawaran dadah (kebolehdapatan dadah), penggunaan dadah pelbagai dalam kalangan pengguna, penagihan dadah adalah sebahagian daripada penyakit kronik yang mudah berulang, kemunculan dadah baru (NPS) dan kecelaruan psikotik akibat dadah jenis sintetik,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, tingkah laku penagih akibat penagihan dadah dikenal pasti memberi impak kepada peningkatan indeks jenayah, khususnya membabitkan aktiviti jenayah jalanan seperti ragut, mencuri dan gangguan awam.

Penyalahgunaan atau penagih melakukan perkara itu untuk membeli dadah dan perlakuan berkenaan tercetus disebabkan terdesak ketika mereka tidak mampu untuk mendapatkan bahan secara pemberian langsung.

“Penularan penyakit berjangkit turut berlaku khususnya kepada penagih yang berkongsi jarum suntikan sesama mereka.

“Dalam proses rawatan dan pemulihan, penagih yang mempunyai simptom atau disahkan pembawa penyakit ini, perlu diasingkan dan diberi keutamaan untuk dirawat terlebih dahulu sebelum rawatan penagihan diteruskan.

“Untuk itu, AADK terus membuat advokasi dan temuseru serta mengajak mereka yang kebergantungan kepada dadah mendapatkan rawatan serta pemulihan segera. Ini kerana, mendapatkan rawatan dan pemulihan lebih kos efektif berbanding tidak mendapatkan rawatan langsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 6:36 AM