Gambar Nadezhda Srivastava, 44, sedang dibaham harimau Siberia yang tular di seluruh dunia. - Foto DM
Agensi

PETUGAS wanita di Zoo Kaliningrad, Russia, yang cedera parah dibaham harimau Siberia hampir dua minggu lalu, berkata dia hampir berputus asa selepas 10 minit bergelut dengan harimau dan menyerahkan nasibnya kepada takdir.

Ibu tiga anak itu, Nadezhda Srivastava, 44, yang ditemui di hospital berkata, dia hanya membayangkan kematian dan ketika itu, wajah tiga anaknya terlintas dalam fikiran selepas berhempas-pulas berusaha melepaskan diri daripada cengkaman harimau terbabit.

Namun, tiba-tiba harimau itu berundur, nyawanya diselamatkan pengunjung zoo yang berjaya membuatkan harimau bernama Typhoon itu melepaskan cengkamannya selepas mereka membuat bising, membaling objek termasuk batu, malah kerusi dan meja dari kafe berhampiran.

Gambar Nadezhda sedang diterkam dan dibaham harimau berkenaan tular di seluruh dunia.

Wanita yang berpengalaman sebagai petugas zoo itu mengakui dia berkemungkinan terlupa menutup dan mengunci pintu ketika memasuki kandang harimau berusia 16 tahun itu pada 5 November lalu, untuk meletakkan makanan.

“Tiba-tiba saya nampak harimau itu, berdiri kira-kira setengah meter dari saya.

“Ia datang dengan senyap dan saya tidak sempat berbuat apa-apa, apatah lagi melarikan diri.

“Saya cuba ‘bercakap’ kepadanya - mungkin berkata ‘pergi dari sini’ atau ‘jangan ganggu aku’ dengan harapan harimau itu berlalu.

“Saya seperti bermimpi, tidak sedar sangat apa yang berlaku dan tiba-tiba Typhoon menerkam, menjatuhkan saya ke tanah.

“Ia tidak mengaum, tidak marah, namun dia menggigit saya, ‘mengunyah’ tangan saya.

“Saya meletakkan siku dan lengan pada rahangnya supaya ia tidak dapat menggigit kepala dan leher.

“Apabila harimau itu mengendurkan cengkamannya, saya berasa seperti ada harapan dan cuba berpaling untuk merangkak keluar, namun harimau itu kembali menghempap, menekan seluruh beratnya ke atas badan saya.

“Saya tidak pasti ia mahu bermain atau menyerang,” katanya.

Menurut Nadezhda, dia boleh mendengar sorakan dan jeritan pengunjung, termasuk seseorang yang menyuruhnya mencapai kayu (untuk memukul harimau itu) namun tiada apa untuk dicapai.

“Harimau itu sudah menyebabkan lengan saya cedera parah, amat sakit.

“Saya cuba menolaknya dengan kaki namun ia menggigit kaki, mengoyakkannya. Apabila saya cuba berpaling, ia membaham belakang,” katanya.

Ketika itu dia sudah berputus asa, yakin saat kematiannya sudah tiba dan apa yang terbayang ialah tiga anaknya, anak lelaki berusia 18 dan 13 tahun serta anak perempuan enam tahun.

“Ketika itu saya berasa mahukan penyeksaan, sengsara ini berakhir segera,” katanya.


Tindakan pengunjung melempar pelbagai objek menyelamatkan petugas wanita di Zoo Kaliningrad, Russia, daripada maut dibaham harimau Siberia, Typhoon (gambar kiri). - Foto DM

Dalam keadaan sudah berputus asa selain menahan kesakitan amat sangat, tiba-tiba berasa harimau itu berlalu pergi, mungkin selepas pengunjung melempar dengan batu, bangku dan meja ke dalam kandang bagi menakutkan haiwan itu.

Nadezhda percaya tong sampah yang dilempar ke dalam kandang menyebabkan harimau itu ‘terganggu’ dan melepaskannya.

“Saya kepal tangan, kerah semua tenaga yang ada untuk bangun. Dalam keadaan hampir seluruh tubuh berlumuran darah, saya bangun dan mendapati harimau itu sudah tidak kelihatan.

“Saya berjalan ke bilik penjaga, menutup pintu pertama dan kedua. Di kaki lima, saya perlu membuka satu lagi pintu bagi membolehkan petugas lain masuk mengambil saya.

“Selepas membuka kunci pintu itu, saya terbaring, tidak lagi mampu menahan sakit namun bersyukur kerana masih hidup,” katanya.

Nadezhda dikejarkan ke hospital dan kemudian dipersalahkan pengurusan zoo kerana cuai dan akan dikenakan tindakan disiplin, malah mungkin dakwaan jenayah.

“Saya hampir tidak boleh berjalan sekarang. Rusuk patah dengan luka cakaran dan gigitan pada lengan.

“Gigitan Typhoon meremukkan pergelangan tangan, mematahkan jari.

“Jika bukan kerana pengunjung, saya tidak akan hidup hari ini,” katanya yang sudah mengendalikan haiwan, termasuk beruang sejak 25 tahun lalu.

Namun, Nadezhda sedar dia mungkin tidak akan dibenar bekerja dengan zoo berkenaan atau zoo lain lagi.

Zoo terbabit tidak membunuh harimau itu kerana serangan itu tidak akan berlaku jika semua langkah keselamatan dilaksanakan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 6:32 PM