Syarifah Dayana Syed Bakri dan Lizam Ridzuan
bisnes@hmetro.com.my


MODEL serba baru Myvi adalah 100 peratus rekaan Malaysia dengan idea daripada pereka tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, walaupun timbul desas-desus mengatakan Myvi serba baharu itu mempunyai rekaan seperti model jenama lain, namun pihaknya ingin menegaskan bahawa ia adalah rekaan tenaga tempatan.

“Jika kelihatan seperti model lain, ia hanya kebetulan. Banyak perbincangan dilakukan sebelum rekaan ini diluluskan.

“Kami ingin menegaskan bahawa model Myvi serba baharu ini adalah idea dan kreativiti rakyat Malaysia dengan 90 peratus komponen tempatan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Myvi serba baharu di Putrajaya, hari ini yang disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.


MODEL serba baru Myvi yang dilancarkan hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Pasukan yang bertanggungjawab untuk rekaaan Myvi serba baharu ini diketuai Timbalan Pengurus Besar, Penyelidikan dan Pembangunan Perodua, Muhamad Zamuren Musa.

Menurutnya, rekaan berkenaan digarap bersama 59 pereka yang terdiri daripada graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Untuk menghasilkan rekaan ini, kami menjalankan kajian terperinci selain mengambil kira pandangan pengguna Myvi.

“Ia adalah rekaan global dan ia terhasil berdasarkan apa yang pengguna mahu,” katanya.

Myvi serba baharu ini ditawarkan dalam enam warna iaitu Putih Ivory, Perak Glittering, Ungu Mystical, Merah Lava, Hijau Peppermint (1.3 liter saja) dan Kelabu Granite (1.5 liter saja).

Untuk Semenanjung Malaysia, ia dijual pada harga bermula dari RM44,300 bagi varian 1.3 liter dan dari RM51,800bagi varian 1.5 liter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 6:48 PM
MODEL serba baru Myvi yang dilancarkan hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor