Sudirman Mohd Tahir


Percutian keluarga pasangan selebriti popular Awal Ashaari dan Scha Alyahya ke Hong Kong baru-baru ini berbaloi apabila anak mereka, Lara Alana dilihat seronok berada di semua lokasi yang mereka lawati.

Awal berkata, Lara yang kini berusia tiga tahun tidak lagi berasa takut dan meragam, sebaliknya dia lebih menikmati kerana sudah kenal banyak perkara terutama yang dilihat di sekeliling.

“Ini pelaburan terbaik saya dan isteri membawa Lara ke Disneyland Hong Kong. Dia sangat gembira apatah lagi melihat watak Disney yang ada, malah dia juga sudah kenal. Kalau sebelum ini, dia takut.

“Lagi satu, dia tidak takut langsung menaiki ‘roller coster’. Dia sangat relaks, sebaliknya saya pula yang bimbang. Pendek kata, dia sangat seronok sepanjang di sana. Bukan saja di Disneyland tetapi di semua tempat yang kami pergi,” katanya.

Awal yang juga pengacara program CEO Desa ditayangkan di TV3 berkata, Lara begitu teruja apabila menjalani sesi ‘make over’ menjadi puteri.

“Pada mulanya kami agak bimbang kerana sesi itu agak rumit. Bimbang jika Lara menangis dan tidak mahu disolek. Namun, agak mengejutkan apabila dia okey. Malah dia kelihatan teruja melihat sesi berkenaan dibuat atas dirinya.

“Selepas siap, dia terus ‘feeling’ seperti seorang puteri. Dia memakai kostum puteri berkenaan sehingga malam. Setiap kali disuruh buka, dia mengelak. Malah, dia boleh bermain dan berlari lagi. Sampai sekarang pun dia masih ‘feeling’ seorang puteri,” katanya.

Selain bercuti, kunjungan mereka ke sana juga bagi menjayakan program Discover Hong Kong bagi mempromosikan lokasi dan tempat makan halal di sekitar negara itu.

Awal berkata, peluang diberikan satu pengalaman berharga buat mereka sekeluarga kerana dapat meneroka Hong Kong secara meluas.

Ditanya mengenai pembabitan Lara dalam kerjaya seninya dan isteri, Awal berkata, dia hanya mengikut aturan dan rezeki yang diberikan Allah SWT.

LARA Alana.
LARA Alana.

“Bagi diri sendiri, selagi saya boleh buat sesuatu kerja dan tawaran diberikan berbaloi, ia bukan satu masalah. Lagipun, dalam waktu dan keadaan sekarang, bukan masa sesuai untuk berehat panjang.

“Untuk Lara pula, apa yang dia terima sekarang adalah rezekinya. Tidak ada istilah kami mengerah tenaganya untuk bekerja. Kebanyakan projek diterima masih membabitkan saya atau isteri. Mungkin apabila dia sudah sekolah nanti baru kami boleh kawal perkara ini. Namun, buat masa sekarang kami ikut saja aturan ditentukan,” katanya.

Seimbang kerjaya dan perniagaan

Awal dan Scha baru saja membuka butik di Jakel Mall, Kuala Lumpur.

Butik itu diilhamkan daripada perniagaan vendor yang diusahakan dua tahun lalu. Ia juga menyaksikan impian mereka mempunyai butik sendiri tercapai.

“Sebagai artis saya tidak boleh menjangka apa bakal berlaku pada masa hadapan. Saya dan isteri tidak boleh beri jaminan yang kami akan terus diterima dalam industri. Setiap hari ada saja wajah baru muncul.

“Jadi, kami perlu ada perancangan lain iaitu perniagaan supaya boleh menjamin masa hadapan. Sekiranya kami tidak dipanggil untuk menjadi pengacara atau berlakon lagi, sekurang-kurangnya kami ada sesuatu yang diusahakan,” katanya.

Pada masa sama, Awal dan Scha turut memperkenalkan rangkaian wangian baru mereka iaitu Noir by Awal Ashaari dan Silver Rose by Scha Alyahya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 3:15 AM