MOHD Azizan (dua dari kiri) melihat 156 tan simen jenama tiruan dirampas di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, semalam. FOTO Ramdzan Masiam
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Syarikat pengeluar simen penampal dari Perancis yang kerugian ratusan ribu akibat jenama keluaran mereka diciplak, menghela nafas lega selepas gudang memproses barang tiruan itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tengah hari semalam.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari, sepasukan pegawai dan anggota KPDNKK cawangan Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu premis di Jalan Bukit Minyak sebelum merampas 156 tan simen tiruan bernilai RM78,000 yang sudah siap dibungkus untuk diedarkan.

Timbalan Ketua Cawangan KPDNKK SPT Mohd Azizan Mohd Rashid berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik jenama berkenaan mengenai aktiviti menghasilkan simen tiruan di situ.


GUDANG memproses simen jenama tiruan diserbu KPDNK. FOTO Ramdzan Masiam

“Hasil maklumat diterima, kami menyerbu premis berkenaan yang menyimpan ribuan kampit simen sudah siap dibungkus dan diangkut sebelum diedar.

“Ketika serbuan, tiada penjaga di premis berkenaan dan semua peralatan memproses serta membungkus berada di dalamnya,” katanya.

Mohd Azizan berkata, harga pasaran bagi simen penampal tulen ialah RM24 sekampit, manakala simen tiruan dijual dengan harga RM20 sekampit.

Beliau berkata, banyak risiko jika simen tiruan digunakan bagi tujuan pembinaan terutama kualitinya tidak dijamin dan boleh mengundang kemalangan sekiranya siling atau dinding itu retak atau runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 6:01 AM